GUA MUSANG – Penduduk di Kampung Dalam Senduk dan Kampung Jerek di sini, kini hidup dalam ketakutan selepas seekor beruang matahari yang menyerang seorang buruh sehingga menyebabkan kematian minggu lalu masih belum ditangkap.
Keadaan itu menyebabkan rata-rata penduduk enggan keluar ke kebun untuk mencari rezeki memandangkan binatang buas itu masih belum memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Seorang penduduk Che Rohana Che Deraman, 52, berkata, serangan beruang yang menyebabkan kematian minggu lalu merupakan tragedi pertama yang berlaku di kawasan kampung itu dalam tempoh lebih 50 tahun.
“Sejak kejadian itu, penduduk sudah takut ke kebun untuk menoreh getah, mencari hasil hutan atau mengutip buah-buahan.
“Kami memang pernah terserempak dengan binatang buas seperti beruang dan harimau, tetapi ia tidak menyerang penduduk. Namun, ketika ini penduduk sudah tidak berani ke kebun,” katanya.
Mat Nor Mamat, 64, pula berkata, penduduk sangat berharap beruang matahari yang menyerang mangsa dapat ditangkap dengan segera.
“Sudah 44 tahun saya tinggal di kampung ini dan tidak pernah terdengar ada penduduk diserang haiwan liar.
“Tahun lalu, memang ada seekor beruang matahari bersarang di belakang rumah penduduk, namun binatang buas itu sudah ditangkap Perhilitan.
“Saya harap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu demi keselamatan penduduk.
“Apabila berlaku serangan seperti ini, penduduk menjadi semakin takut untuk menoreh getah atau mengutip hasil buah-buahan sedangkan itu punca pendapatan kami,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang buruh yang cedera parah diserang beruang ketika keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek disahkan meninggal dunia pagi pada Sabtu minggu lalu selepas bertarung nyawa selama enam hari.














