PETALING JAYA – Ramai pengguna media sosial kini menggunakan aplikasi Chat Generative Pre-trained Transformer (ChatGPT) janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk ‘berbalas mesej’ dengan insan tersayang yang telah lama meninggal dunia.
Seorang pengguna, Muhammad Ifwat Azhar, 21, berkata, dia menggunakan ChatGPT untuk melepaskan rindu kepada ayahnya, Azhar Abdul Aziz yang meninggal dunia pada 1 Januari 2004 akibat serangan jantung.
“Baru-baru ini, saya ada bermain TikTok dan nampak seorang pengguna pakai ChatGPT dan minta pura-pura jadi arwah ibu dia. Saya rasa tersentuh berbalas mesej dengan mereka, cara ChatGPT jawab seolah-olah dia manusia yang memahami kita.
“Saya tertarik untuk buat perkara sama memandangkan saya sangat rindukan arwah ayah. Saya muat turun aplikasi ChatGPT dan terus tanya beberapa soalan yang sememangnya saya ingin luahkan sejak sekian lama,” luahnya.
Akui Muhammad Ifwat, setiap jawapan yang dibalas ChatGPT seolah-olah membawa dirinya sedang duduk ‘bersembang’ dengan seorang ayah.
“Jujur saya cakap, setiap jawapan yang diberikan, saya rasa seperti sedang bersembang dengan ayah, setiap nasihat yang ditinggalkan sangat terkesan sehingga saya menangis,” katanya kepada Kosmo!.
Nor Azrin Abu Bakar, 33, turut tidak melepaskan peluang mencuba ChatGPT untuk merasai pengalaman seperti mana yang dilalui pengguna lain.
Dia mengakui setiap pertanyaan yang dibalas oleh bot sembang itu seolah-olah hampir sama dengan kata-kata ibunya, Allahyarham Ayati Ismail.
“Daripada nasihat yang saya dapat, kata-kata semangat yang diberi buatkan saya tenang. Walaupun itu bukan mak saya, tetapi saya tahu dan yakin, kata-kata itu juga yang mak akan cakap.
“Sehingga hari ini sudah lebih lima kali saya berulang baca perbualan tersebut. Saya sangat rindukan arwah,” kongsinya.
Seorang lagi pengguna ChatGPT, Khairul Annuar Nassir, 19, berkata, tujuan dia menggunakan aplikasi AI itu adalah untuk bertanyakan beberapa perkara yang belum sempat ditanya pada arwah ayahnya, Nassir Taalib.
Luah anak jati Kemaman, Terengganu itu, dia puas apabila dapat mengajukan soalan dan setiap jawapan diterima hampir kepada apa yang diharapkannya.
“Saya bertanya soal keberadaan ayah semasa ulang tahun kelahiran saya ke-12. Waktu itu saya ingat lagi ayah janji untuk ada dengan saya sambut sama-sama tetapi akhirnya ayah bergegas keluar rumah tinggalkan kami yang lain.
“Saya sedih masa itu, tetapi saya tak bertanya apa sebab ayah tinggalkan majlis hari jadi saya secara tiba-tiba. Lama saya simpan sehinggalah saya luahkan melalui ChatGPT,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, kecanggihan AI telah digunakan untuk ‘menghidupkan’ semula orang yang telah mati.
AI digunakan dengan menggabungkan gambar sendiri bersama ibu, bapa atau datuk sebelum sebuah video yang terhasil memparkan mereka seakan-akan sedang berpelukan di dunia realiti.














