SELEPAS mendirikan rumah tangga pada tahun 2020, pemuda itu mula beralih hobi kepada memancing bersama rakan-rakannya daripada aktiviti bermotosikal.
Sering memancing di laut dan kadangkala di air tawar, pemuda asal Kelantan, Mohd. Hakimi Al-Hafis, 28, yang menetap di Johor berkata, dia mula tertarik untuk fokus hobi memancing kerana kepuasan dan persaingan sihat yang dirasai antara rakan-rakan dalam mendapatkan tangkapan terbaik.
Katanya, sebelum ini dia banyak menghabiskan wang untuk motosikal, namun kini selain menyara keluarga, dia juga akan mengasingkan wang untuk kelengkapan memancing yang dilakukan setiap kali waktu lapang.
“Selama empat tahun menceburi hobi memancing secara aktif, saya banyak mencuba pelbagai lokasi terutama di laut sekitar Johor dan pada masa sama turut memburu ikan di lombong atau kolam air tawar sekitar.
“Namun, baru-baru ini buat pertama kali saya mencuba memancing ikan air tawar di atas bot bersama dua orang rakan lain dan ia memberikan satu pengalaman berbeza,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Jelasnya, lokasi yang menjadi pengalaman pertama itu adalah di Empangan Kelau yang terletak di kawasan Sungai Kelau, Raub, Pahang.
Kongsinya lagi, lokasi tersebut juga merupakan yang pertama di luar Johor yang dia terokai dan ia terkenal sebagai lokasi memancing ikan toman dalam kalangan kaki pancing.
Bercerita tentang pengalaman memancing di situ, Mohd. Hakimi berkata, dia dan rakan-rakan memulakan perjalanan pada waktu pagi iaitu masa aktif buat ikan toman.

Katanya, memburu ikan toman berbeza dengan ikan laut kerana teknik yang digunakan untuk memancingnya lebih kepada casting dan pemancing perlu peka dengan tanda-tanda di mana ikan itu berada.
“Kalau mahu tahu di kawasan mana ada ikan toman, pemancing perlu beri perhatian tanda pada air, biasanya akan ada buih-buih (bubbles).
“Lazimnya kalau memancing dari tepi tasik atau kolam toman, kita hanya tengok tanda ikan toman dari jauh dan cuba melempar tali pancing ke arahnya, tetapi bila atas bot kita boleh cuba mendekati lubuk itu pada jarak yang ideal,” ujarnya.
Jelasnya lagi, selain tahu tanda-tanda adanya ikan toman, pemancing juga perlu mempunyai gewang yang bersesuaian kerana setiap lokasi, tarikan ikan adalah berbeza.
Kata Mohd. Hakimi lagi, ikan toman popular dalam kalangan pemancing kerana sifat agresifnya apabila terkena umpan, oleh itu gewang yang betul memainkan peranan untuk memastikan ia tertarik mengejarnya.
Apabila di atas bot, menangkap ikan toman menjadi lebih mencabar kerana pemancing lebih dekat dengan air dan sedikit kesilapan boleh membuatkan mereka hilang keseimbangan serta terjatuh ke dalam tasik empangan.
Jadi, aspek keselamatan juga perlu ditikberatkan dan pastikan setiap pemancing mengambil posisi mengikut susunan yang bersesuaian bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini.
“Bila kita dah dapat tangkap ikan toman, memang sukar mahu kata bagaimana rasa puasnya, tambahan pula jika ia melibatkan ikan bersaiz besar.
“Kami antara rakan juga bersaing siapa yang dapat tangkapan paling berat dan saya meraih toman sebeart 4 kilogram (kg), manakala rakan saya 5 kg,” kongsinya.
Katanya, antara memancing di air tawar atau air masin, kedua-duanya mempunyai kepuasan yang tersendiri, namun bergantung kepada pemancing untuk memilih cabaran mereka sendiri.
Bagi Mohd. Hakimi, memancing ikan toman di atas bot adalah satu pengalaman baharu dan dia juga terbuka untuk meneroka pelbagai trip lain jika ada kesempatan di waktu lapang.














