PETALING JAYA – Pemilik yang sengaja membiarkan kenderaan mereka tersadai terutamanya di kawasan awam bakal berdepan dengan tindakan tegas termasuk dilucutkan hak bagi membolehkan kenderaan berkenaan dilupuskan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MoT) bagi mengesan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik kenderaan terbabit.
Menurutnya, kerjasama itu juga turut melibatkan dua agensi iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudah cara pelupusan kenderaan terbiar melalui penambahbaikan kepada proses pekeliling sedia ada.
“Melalui proses penambahbaikan itu, JPJ dan PBT akan dapat mempercepatkan proses pelucutan hak kenderaan terbiar sebelum proses seterusnya diambil
“Ini kerana, ia (setiap kenderaan yang mahu dilucut hak) mempunyai syarat, proses dan tempoh tertentu bagi memastikan pelucutan hakmilik kenderaan tersebut adalah sah dari sudut perundangan dan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo!.
Dalam pada itu, KPKT memaklumkan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kenderan terbiar atau tersadai paling banyak dikenakan tindakan oleh PBT dari 2021 sehingga 2023 iaitu kira-kira 98,247 kes.
Daripada jumlah itu katanya, kira-kira 96,512 kompaun telah dikenakan serta melibatkan 1,454 notis, manakala 281 kenderaan telah disita atau ditunda pihak PBT.
Tambahnya, Sabah mencatatkan jumlah kenderaan terbiar kedua paling tinggi dikenakan tindakan bagi tempoh sama iaitu kira-kira 32,444 kes.
Diikuti Selangor iaitu sebanyak 32,043 kes, Johor (8,124), Pahang (3,986), Pulau Pinang (3,606), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,421) dan Perak (2,591).
Selain itu, kata KPKT, Sarawak pula mencatatkan sebanyak 763 kes kenderaan terbiar, manakala Kedah (712), Melaka (467), Terengganu (135), Kelantan (75) dan Perlis (54).
“Bagi tindakan sitaan atau penundaan pula, sebanyak 4,735 kenderaan telah diambil tindakan oleh PBT di Selangor, diikuti Johor (1,735), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,679), Pulau Pinang (948) dan Pahang (929).
“Untuk tindakan perlupusan, PBT di Selangor telah melupuskan kira-kira 2,642 buah kenderaan diikuti Kuala Lumpur (957), Pulau Pinang (803), Pahang (340) dan Johor (170),” katanya.
KPKT berkata, secara keseluruhan sepanjang tempoh tiga tahun itu, sebanyak 186,668 kes melibatkan kenderaan terbiar di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 135,727 kenderaan dikompaun, manakala 35,007 notis dikeluarkan PBT di negeri masing-masing.
“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 10,884 kenderaan terbiar ini telah ditunda atau disita dan 5,050 buah telah dilupuskan oleh pihak PBT di setiap negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, KPKT memaklumkan bahawa semua tindakan yang telah diambil oleh pihak PBT ke atas kenderaan terbiar itu berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha KPKT Bilangan 2 Tahun 2020 bertarikh 13 Februari 2020. -KOSMO! ONLINE














