PETALING JAYA – Isu kereta usang dan rosak yang dibiarkan tersadai di tepi jalan dan parkir taman-taman perumahan serta flat tidak pernah selesai biarpun pelbagai rungutan telah disuarakan oleh penduduk yang terkesan dengan masalah itu.
Selain menjejaskan pemandangan, kereta tersadai yang diibaratkan sebagai ‘besi buruk’ itu turut menimbulkan masalah lain termasuklah gangguan lalu-lintas serta menyukarkan orang ramai untuk mendapatkan parkir di lokasi-lokasi tertentu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, kebanyakkan kereta yang dibiarkan tersadai di tepi jalan dan parkir berada dalam keadaan usang, kotor sehingga ada yang tinggal rangka dan dipenuhi semak samun dan pokok.
Seorang penduduk di Putrajaya, Kamal Husin, 42, berkata, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat beberapa kenderaan yang dibiarkan di pusat komersial sehingga menganggu aktiviti harian pengunjung di kawasan berkenaan.
“Isu parkir paling bermasalah, sudahlah parkir tidak banyak, ada pula kereta seperti ‘besi buruk’ yang dibiarkan tersadai terlalu lama di situ.
“Perkara sebegini sangat menyusahkan kami sebagai penduduk di sini, ” katanya.
Beliau menambah, selain pusat komersial, ada juga individu tidak bertanggungjawab yang sengaja meletakkan kenderaannya di bahu jalan kawasan perumahan untuk satu tempoh yang terlalu lama sehingga kereta tersebut terbiar dan rosak.

“Kereta yang dibiarkan ini bukan hanya melibatkan kereta berjenama tempatan, tetapi ada juga kereta import yang memang mempunyai nilai yang tinggi apabila dijual.
“Saya sendiri pelik apa alasan pemilik sehingga membiarkan kereta mereka tersadai tanpa dijaga dengan baik.
“Isu inilah yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar pada masa akan datang,” tegasnya.
Abdul Hafiz Tarmizi Abdul Kadir, 30, yang menetap di Gombak pula berkata, membiarkan kereta terbiar di bahu-bahu jalan sebenarnya boleh mengundang bahaya dan menyebabkan kemalangan.
“Biarpun tindakan telah diambil oleh PBT, tetapi selepas beberapa bulan, akan ada lagi kereta yang dibiarkan terbiar di bahu jalan.
“Apa yang kami bimbangkan ialah isu ini boleh mendorong kepada berlakunya jenayah kecurian apabila ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas kereta-kereta yang tersadai ini,” jelasnya.
Penduduk di Taman Sungai Besi dikenali sebagai Zainul, 33, pula berkata, kewujudan kereta rosak dan usang di bahu jalan sangat menyakitkan mata.
“Kami pun tidak tahu siapa pemilik sebenar kereta ini. Terbiar begitu sahaja hingga berkarat. Ada penduduk yang membuat aduan dan mahu jual kereta itu kepada pembeli besi buruk, tetapi mereka tidak berani.
“Kereta tersadai ini juga ambil ruang tempat letak kenderaan dan ia sangat menyusahkan,” katanya.
Di Kota Bharu, kira-kira 10 buah kereta buruk yang tersadai di tepi jalan satu lorong di Kampung Kadok, Ketereh di sini, turut mencetuskan masalah kepada pengguna jalan raya terutamanya penduduk kampung yang kerap melalui kawasan berkenaan.
Kereta yang dipakir di tepi bengkel berhampiran tali air kira-kira 10 tahun lalu itu bukan sahaja menghalang laluan kereta, lori dan motosikal, malah boleh menyebabkan kemalangan terutamanya pada waktu malam.
Seorang penduduk Kampung Kadok dikenali Hassan berkata, kawasan tersebut menjadi lokasi kereta tersadai oleh pemiliknya selepas ia tidak lagi boleh digunakan akibat rosak.
“Kereta yang tersadai itu kebanyakannya ada pemiliknya. Mereka dipercayai tidak mengambil semula kereta di bengkel terbabit kerana bayaran penyelenggaraan dan membaikinya terlalu tinggi,” katanya.














