ALOR SETAR – Sebilangan rakyat Malaysia termasuk yang masuk ke Thailand secara konvoi didapati memandu laju sedangkan had laju di jalan persekutuan di sana adalah 90 kilometer per jam (km/j).
Menurut seorang aktivis, Abdul Halim Othman, 56, yang juga dikenali sebagai Cikgu Joe Satun, rakyat Malaysia memandu laju kerana menganggap jalan persekutuan itu sebagai lebuh raya.
“Jalan yang dianggap lebuh raya itu adalah jalan persekutuan dan had laju adalah 90 km/j (kereta dan motosikal), namun ramai rakyat kita memandu melebihi had sehingga 120 km/j, malah ada juga 140 km/j.
“Ia sangat berbahaya dan risiko berlaku kemalangan sangat tinggi kerana permukaan jalan di Thailand agak licin dan boleh terbabas ketika melalui selekoh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia ke Thailand akan memuji keadaan permukaan jalan di Thailand yang kelihatan cantik, berbanding jalan di Malaysia yang agak kasar.
“Namun begitu, pemandu rakyat Malaysia perlu berhati-hati kerana keadaan jalan di sana sebenarnya agak licin dan risiko terbabas sangat tinggi terutama ketika memandu laju.
“Selain itu, pemandu perlu berhati-hati kerana kedudukan rumah dan premis perniagaan, pasar malam, penganjuran majlis kenduri dan kenderaan diletakkan di tepi jalan itu,” ujarnya memberitahu had laju di jalan kampung pula adalah 80 km/j.
Kosmo! semalam melaporkan rakyat Malaysia yang bercuti di Thailand dengan membawa kenderaan sendiri berdepan risiko ‘pokai’ sekiranya terlibat dalam kemalangan gara-gara mahu berjimat dengan hanya membeli insurans wajib iaitu Compulsory insurance (Ci).
Ada rakyat negara ini mendedahkan mereka terpaksa mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit untuk membayar ganti rugi bagi kerosakan kenderaan dan bil perubatan mangsa selepas terlibat nahas di negara jiran.
Kata Abdul Halim, budaya pemanduan orang Siam juga berbeza apabila ramai penunggang motosikal menunggang secara lawan arus, keluar simpang ke jalan utama tanpa berhenti terlebih dahulu, selain memotong di kiri dan kanan jalan.
“Saya juga meminta rakyat kita agar jangan mengikut cara orang sana iaitu dengan tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keledar bagi mengelak disaman.
“Patuh undang-undang yang mana di Thailand, penumpang belakang juga diwajibkan memakai tali pinggang keledar,” jelasnya.
Beliau pada masa sama menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak memandu untuk perjalanan jarak jauh pada waktu malam kerana risiko kemalangan sangat tinggi.
“Pada waktu malam, ramai penoreh keluar dengan menaiki motosikal roda tiga, haiwan ternakan berkeliaran dan juga pemandu lain yang berkemungkinan di bawah pengaruh alkohol,” jelasnya.
Sehubungan itu, dia meminta rakyat tidak membawa budaya pemanduan Malaysia ke negara Gajah Putih itu dan mematuhi segala peraturan lalu lintas di sana bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang atau mengalami kemalangan.
“Jika terlibat kemalangan ‘modal besar’ kena keluar,” ujarnya.














