ALOR SETAR – Rakyat Malaysia yang bercuti di Thailand dengan membawa kenderaan sendiri berdepan risiko ‘pokai’ sekiranya terlibat dalam kemalangan gara-gara mahu berjimat dengan hanya membeli insurans wajib iaitu Complusory insurance (Ci).
Ada rakyat negara ini mendedahkan mereka terpaksa mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit untuk membayar ganti rugi bagi kerosakan kenderaan dan bil perubatan mangsa selepas terlibat nahas di negara jiran.
Selain duit melayang, rakyat kita juga berdepan risiko penjara di negara Gajah Putih itu sekiranya berlaku kematian yang berpunca akibat kecuaian sendiri.
Sekurang-kurangnya 10 kemalangan membabitkan rakyat Malaysia berlaku di Thailand setiap bulan dan jumlah itu meningkat pada musim cuti sekolah atau cuti umum.
Untuk rekod, seramai 759,828 pelancong Malaysia masuk ke Thailand sejak 1 Januari hingga 25 Februari lalu. Sebahagian besar mereka dipercayai tidak mengambil insurans penuh.
Menurut aktivis, Abdul Halim Othman, 56, rata-rata rakyat negara ini panik selepas terbabit dalam kemalangan di negara jiran kerana sukar untuk berkomunikasi kerana kebanyakan orang Siam tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Rakyat Malaysia juga ‘ditekan’ untuk membayar ganti rugi, lebih teruk lagi jika ada orang Thailand yang cedera, pemandu perlu menanggung kos perubatan di hospital sehingga mangsa pulih.
“Jika ada kematian kerana cuai memandu, ada kemungkinan rakyat Malaysia akan dipenjara di sana,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Abdul Halim yang dikenali sebagai Cikgu Joe Satun berkata, pemandu akan berdepan masalah besar sekiranya kenderaan tidak dilengkapi insurans lengkap terdiri daripada Complusory insurance, Voluntary insurance (Vi), Travel insurance (Ti) dan Extension 101 (E101).
Jelas beliau, rata-rata rakyat negara ini didapati hanya melanggan insurans wajib sebagai syarat asas untuk ‘lepas’ masuk ke Thailand.
“Sesetengah mereka ini hanya fikir mahu seronok bercuti atau berjimat tanpa memikirkan risiko lain termasuk kemalangan.
“Perlu ingat kita berada di negara orang yang ada undang-undang, tidak boleh ‘kosong’ sedangkan negara sendiri mewajibkan insurans kenderaan,” katanya.
Sebagai contoh, harga insurans bagi Ci untuk kereta sedan adalah RM40 untuk 19 hari, sementara bagi pakej Ci dan Vi adalah RM165 untuk seminggu.
Insurans Ti dan E101 pula dibeli daripada pihak insurans di Malaysia. Harga Ti bermula dari RM54.50 seorang untuk seminggu, manakala E101 pula bermula RM20 bagi tempoh sama.
Abdul Halim yang tinggal di Thailand sejak 13 tahun lalu berkata, dengan adanya insurans lengkap, wakil syarikat akan membantu pelanggan menguruskan masalah terutama komunikasi sehingga kes selesai bagi mengelak perkara berbangkit di kemudian hari.
Lelaki itu kerap memberi nasihat kepada orang ramai yang mahu bercuti ke Thailand.
“Budaya pemanduan di Thailand berbeza dengan Malaysia, jadi pemandu terutama yang masuk secara berkonvoi perlu berhati-hati bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.
Selain kecederaan akibat kemalangan jalan raya, Ti penting untuk kos perubatan di hospital di sana sekiranya rakyat tiba-tiba jatuh sakit dan segala urusan lain termasuk pengurusan jenazah jika berlaku kematian.
“Saya dimaklumkan pada bulan lalu sahaja, terdapat 18 kematian atas pelbagai faktor termasuk kemalangan membabitkan rakyat Malaysia di Thailand.
“Saya tidak mahu menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang mahu bercuti di Hatyai, tetapi bagi memberi kesedaran awal sebelum berlaku perkara tidak diingini di sana,” katanya. -KOSMO! ONLINE















