APABILA bercakap tentang konsep hiasan dalaman sesebuah kediaman, mungkin ramai yang bersetuju bahawa hati terasa lebih puas sekiranya mampu menterjemah konsep pilihan sendiri, tanpa mengupah khidmat pereka hiasan dalaman.
Bahkan, kosnya juga mungkin menjadi lebih murah sekali gus membolehkan pemilik kediaman berjimat, namun masih dapat konsep yang diidamkan.
Bagi Jumaati Yasin, 33, dan suami, Abdul Rahim Roslan, 33, mereka puas apabila akhirnya impian memiliki sebuah rumah yang diberi sentuhan hiasan konsep moden minimalis itu akhirnya terlaksana.
Jumaati yang merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata, dia amat menggemari konsep tersebut dan banyak mencedok idea bagi mewujudkan konsep sedemikian menerusi carian di internet.
“Jika ditanya konsep rumah ini, saya dan suami sepakat memilih konsep moden minimalis untuk kediaman kami bagi menjadikan ia nampak ringkas tetapi kemas, dalam sentuhan moden.
“Skema warna digunakan pula adalah daripada warna-warna alam seperti putih, hitam, kelabu dan beige,” ujarnya.
Menjadikan aplikasi Pinterest serta akaun instagram pemilik rumah yang gemarkan aktiviti hiasan dalaman sebagai sumber rujukan, Jumaati berpuas hati kerana berjaya menterjemah konsep pilihan hati pada kediaman miliknya yang terletak di Setia Alam, Selangor itu.
Ketika kaki melangkah masuk ke kediaman berkeluasan 70 meter persegi itu, mata tetamu akan dijamu dengan kelembutan rona putih yang mendominasi ruang tamunya.
Bagi menyuntik seri pada ruangan itu pula, Jumaati meletakkan perabot jenis mix and match yang bersesuaian dengan konsep dipilih.
“Sebagai contoh, meja makan bulat jenis kayu walnat pada kediaman ini saya padankan dengan kerusi rekaan moden daripada material fabrik.
“Sofa ruang tamu pula adalah daripada jenis fabrik dan bentuk L yang bagi saya mampu menyerlahkan elemen moden, namun dalam masa sama menjimatkan ruang.

“Kami juga memilih untuk menggunakan venetian blind pada ruang kediaman untuk ‘look’ yang lebih moden dan minimalis,” katanya.
Jumaati juga bijak menterjemahkan elemen moden menerusi pemilihan barangan perhiasan melalui susun atur dan pemilihan barangan perhiasan yang sesuai dengan konsep kediaman.
Antaranya termasuk menggunakan hiasan jenis kayu seperti ranting kayu asli bagi menyuntik elemen semula jadi, menggunakan pampass grass dan juga meletakkan koleksi pasu seramik yang secara tidak langsung menaikkan lagi seri kediaman.
Bercerita tentang ruang kegemaran, kongsi Jumaati, dia cukup gemarkan ruang tamu, ruang makan dan sudut laluan ‘hallway’ pada kediamannya itu.
“Saya paling menggemari ruang-ruang itu kerana dihiasi dengan grand mirror yang kami hasilkan sendiri.
“Bagi saya, cornice, grand mirror dan wainscoting sudah memadai dalam menaikkan seri di ruangan tersebut,” ujarnya yang sudah menghabiskan sekitar RM20,000 bagi kerja-kerja menghias kediaman.
Biarpun gembira dengan dekorasi kediamannya, Jumaati berkata masih ada beberapa perkara yang belum terlaksana, khususnya melibatkan dekorasi pada bahagian dapur.
“Memandangkan kabinet dapur baru saja siap, maka ada beberapa penambahbaikan yang mahu dibuat seperti ruangan pantri yang membolehkan saya menyimpan rempah ratus di satu sudut yang secara tidak langsung bakal memudahkan kerja-kerja di ruangan itu nanti,” ujarnya.















