PETALING JAYA – Majoriti ulama mengharamkan tindakan melukis atau menyunting gambar menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke atas orang hidup atau telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab munasabah.
Bagaimanapun, penggunaan gambar digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti berdakwah atau pembelajaran terkeluar daripada hukum itu.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu jawapan bertulis memberitahu, terdapat dua situasi yang menjelaskan haram atau tidak mengikut pendapat Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
“Haram jika gambar tersebut dibuat untuk disembah selain Allah SWT, untuk menyucikannya, menyaingi ciptaan Allah, menggambarkan para Nabi dan Malaikat atau gambar-gambar yang tidak menutup aurat.
“Tidak haram jika gambar tersebut tidak dimaksudkan untuk tujuan yang terlarang dalam Islam,” kata kenyataan itu dengan memetik kata-kata Syeikh Yusuf.
Menurut kenyataan itu, lukisan dan gambar yang tidak lengkap (hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja) iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala maka hukumnya harus dengan bersyarat.
Tambahnya, lukisan seperti itu dianggap sebagai tidak bernyawa sama ada manusia atau haiwan.
“Tetapi dengan syarat gambar yang dihasilkan bukanlah gambar yang sempurna seluruh anggota tubuh badan dan tidak mempamer aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan syarak.
“Kemudian ia tidak mengaibkan gambar si mati dan tidak menjadikan gambar orang yang telah meninggal dunia bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya serta bertujuan untuk perkara-perkara kebaikan,” katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, dalam dunia penggunaan teknologi AI, sebaiknya hasilkanlah lukisan atau suntingan seseorang yang tidak wujud untuk digunakan bagi tujuan komersial.
“Contoh untuk kegunaan jual pakaian, nak jual kurta kita tak guna model orang, jadi kita lukis model guna AI sahaja, maka hukumnya harus.
“Lain pula kalau tujuan hendak menarik perhatian anak-anak muda datang tengok filem, jadi letak gambar AI yang seksi dan hukumnya adalah haram,” katanya.
Menurut Azhar, sekiranya penghasilan gambar AI menjadi fitnah kerana tidak pasti betulkah ia seperti yang dijana itu, maka ia dilarang syarak.
“Orang yang mati kita jadikan dia muda hukumnya harus, orang yang mati kita keluarkan semula gambar dia guna AI jadi hina, jadi sedih buat kawan-kawan, ibu bapanya, saudara maranya jadi hukumnya haram.
“Buat gambar ulama yang sudah meninggal dunia, tapi bila orang lain lihat jadi teringat pada akhirat, rasa bangga keluarga, jadi tindakan itu dibolehkan,” jelasnya.
Berita berkaitan: AI hidupkan orang mati














