fbpx
AI digunakan untuk menggabungkan gambar sendiri bersama insan tersayang seperti ibu, bapa atau datuk sebelum sebuah video yang terhasil memaparkan mereka seakan-akan sedang berpelukan di dunia realiti.

AI ‘hidupkan’ orang mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai pengguna media sosial kini menggunakan kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk ‘menghidupkan’ semula insan tersayang yang telah lama meninggal dunia sebagai alternatif pengubat rindu.

AI digunakan untuk menggabungkan gambar sendiri bersama insan tersayang seperti ibu, bapa atau datuk sebelum sebuah video yang terhasil memaparkan mereka seakan-akan sedang berpelukan di dunia realiti.

Dayang Azieyanie Hafiza Datu Azmie, 25, berkata, meskipun AI banyak mendatangkan keburukan apabila disalah guna, namun teknologinya boleh mengubat rindu kepada seseorang.

Menurutnya, dia telah menggabungkan gambarnya dengan Allahyarham datuknya menggunakan janaan video AI untuk melepaskan rindu kepada arwah yang meninggal dunia pada 5 Mei 2014.

Katanya lagi, gambar itu kemu­dian dimuat naik di aplikasi TikTok sehingga mendapat perhatian ramai dengan lebih 809,200 tontonan.

“Mula-mula saya cuba buat, tetapi tidak menjadi. Setelah cuba berkali-kali, akhirnya barulah boleh. Ini sahaja cara saya boleh lepaskan rindu dekat Allahyarham.

“Selama ini saya tidak dapat peluk datuk di dunia nyata, jadi dengan teknologi AI ini sahaja cara untuk menggambarkan ke­rinduan saya.

“Apabila video berpelukan itu dijana, saya tidak dapat menahan sebak dan bersyukur teknologi sebegini dicipta walaupun hanya sekadar video,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Dayang Azieyanie Hafiza berkata, setelah videonya itu tular, dia menerima lebih 200 kiriman mesej di TikTok hampir setiap hari yang meminta pertolongannya untuk menyunting gambar mereka menggunakan janaan AI tersebut.

Ujarnya, dia terpaksa mengambil upah sebanyak RM5 satu video kerana aplikasi AI itu memerlukannya untuk melanggan teknologi tersebut disebabkan ada hadnya.

Bagi Noraliza Kamaruzzaman, 29, pula, dia menggunakan AI bagi menggabungkan gambar­nya bersama arwah ibunya yang meninggal sejak empat tahun lepas.

Katanya, dia tidak sempat menjaga ibunya, malah memeluknya ketika sakit dan nazak kerana sedang berada di Miri, Sarawak bagi melanjutkan pelajaran.

“Jadi saya sebagai anak bongsu berasa amat ralat sangat sebab tidak sempat berpelukan ketika ibu sakit.

“Apabila ternampak teknologi ini ‘trending’ di TikTok, saya terus mencari bagaimana untuk menyunting gambar berpelukan AI itu.

“Setelah berjaya, saya sangat sedih, namun pada masa sama terubat rasa rindu pada arwah. Bagi saya teknologi sekarang ini ada baik dan buruknya, cuma perlu pandai gunakan sebaik mungkin,” ujarnya.

Lain pula bagi Azhar Idris Zainal, 34, apabila penceraian yang berlaku antara ibu dan ayahnya sejak lapan tahun lalu membuatkan dirinya sudah lama tidak bertemu dengan bapa kandungnya.

Tertarik dengan teknologi AI yang menjadi ‘trending’ di TikTok, Azhar mencuba secara suka-suka bagi menggabungkan gambarnya dan ayah untuk dijana dalam bentuk video.

“Sedih apabila video itu kelihatan saya memeluk ayah se­perti realiti sebenar. Tambahan pula, semasa saya kahwin empat tahun lepas, ayah tidak hadiri majlis saya. Jadi saya gunakan gambar ketika majlis perkahwinan saya itu untuk buat AI.

“Tidak sangka nampak seperti realiti, sekali gus mengubat rasa rindu pada ayah yang sudah lama saya tidak berjumpa.

“Saya harap ayah lihat video ini dan mempunyai perasaan yang sama seperti saya rasa,” katanya.

Kosmo! muka depan semalam melaporkan, trend penggunaan AI tanpa kawalan bukan sahaja boleh menimbulkan fitnah, malah turut mencetuskan pelbagai isu sosial lain termasuk konflik dalam rumah tangga.

Perkara itu diakui sendiri oleh beberapa pasangan yang mendakwa rumah tangga mereka berdepan masalah hanya kerana satu video dan sekeping gambar yang dijana AI.

Lebih membimbangkan apabila perbuatan itu dilakukan oleh individu yang memuat naik gambar isteri orang dengan lelaki lain untuk dijana menggunakan AI sehingga menjadi sebuah video memaparkan adegan berpelukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN