fbpx
Penduduk dan rakan berkumpul di lokasi kejadian hingga mengakibatkan Ismail dan Muhammad Shafiq terbunuh dalam kemalangan di Jalan Salor-Pasir Mas dekat Kampung Kota, Kota Bharu kelmarin.

Dia kempunan roti manis…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang warga emas kempunan memakan roti manis yang dibelinya apabila dia maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang dia tunggang terbabit dalam kemalangan di Jalan Salor-Pasir Mas, dekat Kampung Kota di sini kelmarin.

Ismail Awang, 79, maut apabila bertembung dengan motosikal lain jenis Yamaha 15ZR dalam kemalangan pada pukul 5.45 petang.

Isteri arwah, Rusdah Wan Ismail, 72, berkata, menjadi rutin suaminya membeli roti di kedai yang terletak satu kilometer dari rumahnya setiap petang.

“Arwah keluar rumah pada pukul 5.30 petang selepas solat asar. Tidak lama kemudian anak saya, Farhan, 42, hubungi ­mengatakan orang kampung melihat suami kemalangan.

“Saya suruh anak pergi lihat keadaan suami sebelum dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Rusdah, arwah memang suka membeli roti di kedai itu walaupun bekalan masih ada di rumah kerana ia sedap.

Tambahnya, suaminya juga telah berjanji dengan rakan-rakannya untuk minum petang di kedai berhampiran tetapi tidak kesampaian.

Selain Ismail, kemalangan itu turut mengibatkan Muhammad Shafiq Mat Dam, 28, meninggal dunia.

Kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang Muhammad Shafiq dikatakan telah ma­suk ke laluan bertentangan ke­rana mengelak asap tebal yang terhasil daripada pembakaran sampah di sebuah rumah penduduk sebelum bertembung dengan Ismail.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Nor, 59, berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu terus menghubungi polis selepas melihat kedua-dua dalam kea­daan berlumuran darah.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud mengesahkan kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN