SAUDARA PENGARANG,
TIDAK semua negeri dapat menghantar kontinjen yang lengkap untuk bertanding dalam semua acara di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 kerana masalah tertentu.
Masalah utama ialah kos pengangkutan.
Tiket kapal terbang pergi balik perlu disediakan untuk setiap atlet, jurulatih, pasukan perubatan dan pegawai pengiring.
Oleh kerana masalah tertentu dan masalah kewangan kerajaan negeri, amat malang bagi atlet-atlet berbakat yang ‘tertinggal kapal terbang’ kerana tidak dapat
bertanding dalam acara masing-masing di Sukma 2024.
Untuk itu, saya ingin mencadangkan agar Sukma 2026 nanti, pihak penganjur menambah satu kontinjen berkecuali selain kontinjen negeri, seperti mana dilakukan
penganjur Sukan Olimpik, di mana mereka menamakannya kontinjen pelarian.
Kontinjen berkecuali di Sukma 2026 boleh dinamakan Kontinjen Atlet Berkecuali Sukma ataupun kalau inginkan bantuan daripada kerajaan, berikan nama Kontinjen MADANI.
Atlet kontinjen berkecuali perlu mencari penaja masing-masing atau guna perbelanjaan sendiri jika mereka ingin menyertai Sukma 2026.
Untuk mempromosikan produk, para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menaja seorang dua atlet. Inilah masanya untuk menguji produk di lapangan, terutamanya produk kosmetik penjagaan kulit.
Testimoni tentang produk daripada atlet padang dan balapan adalah lebih meyakinkan daripada testimoni artis atau model yang kulit mereka memang putih, gebu dan hanya terdedah kepada cahaya matahari beberapa saat sehari.
Atlet-atlet berbakat, terutamanya bagi acara individu seperti boling, catur, renang, badminton dan balapan, yang tidak dapat mewakili negeri, dipilih untuk mewakili kontinjen berkecuali ini.
Bagi atlet acara berpasukan yang kecil pula seperti sepak takraw, atlet daripada negeri yang tidak menghantar pasukan sepak takraw boleh digabungkan, contohnya tekong servis kuda padu daripada negeri A, pengumpan bola lambung sesedap rasa daripada negeri B digabungkan sebagai pasukan sepak takraw kontinjen berkecuali.
Dengan ini, atlet-atlet berbakat tidak akan dipinggirkan dan dapat menunjukkan kemampuan mereka di Sukma 2026 nanti.
Kementerian Belia dan Sukan juga akan mempunyai satu tabung bakat yang besar untuk dipilih mewakili negara dalam acara-acara sukan di peringkat antarabangsa.
MARISSA QT
Kuala Lumpur














