DALAM rumah tangga, apa yang paling penting sikap saling memahami, menghormati dan tolak ansur antara pasangan.
Pun begitu tidak dapat dinafikan adakalanya hubungan antara pasangan menjadi keruh akibat lain-lain punca misalnya amalan salah.
Berkongsi kisah bersama K2, Ahmad (bukan nama sebenar) memberitahu dia pernah mendirikan rumah tangga sekitar tujuh tahun lalu, namun hanya bertahan tidak sampai dua tahun.
Anak jati Simpang Pulai, Perak itu memberitahu, dia dan Watie (bukan nama sebenar) berkenalan dan mengenali hati budi antara satu sama lain sehingga enam bulan dan terus memutuskan untuk bersama.
“Isteri saya ada perniagaan kedai makanan sendiri dan kampung kami juga tidak jauh antara satu sama lain.
“Dia juga sebenarnya janda anak dua yang sebelum itu bercerai dengan suami terdahulu,” kata Ahmad yang berusia 30 -an.
Jelas Ahmad, meskipun usianya dan isteri agak jauh berbeza iaitu isteri 10 tahun lebih tua, tetapi dia tidak kisah kerana percaya itulah takdir yang tertulis buatnya.
Meneruskan cerita, tidak lama berkahwin, Ahmad yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di sebuah sekolah mula merasakan sesuatu yang tidak kena.
Ujarnya, hubungannya dengan isteri juga boleh dikatakan tidak begitu akrab dan jarang mereka ada masa untuk bersama.
“Isteri bisnes siang dan malam. Kedai makan yang diusahakan itu memang ramai orang datang makan.
“Jadi, masa kami untuk bersama agak terhad. Semangatnya untuk berbisnes memang betul-betul tinggi. Jadi kedua-dua anak tiri, saya juga yang bantu jaga.
“Bagi saya bantu jaga anak itu tidak mengapa kerana merupakan tanggungjawab saya sebagai ‘ayah’ juga,” katanya.
Jelasnya lagi, satu perkara yang dia pelik mengenai isterinya itu adalah dia sering pulang lewat malam dan adakalanya langsung tidak pulang.
Ada juga satu ketika, isterinya pulang ke rumah sekitar pukul 2 pagi dengan pakaian dan badan penuh bau asap kemenyan.
“Beberapa kali saya perasan isteri pulang dalam keadaan badan dan pakaiannya berbau asap. Beg yang dibawanya juga dipenuhi dengan pelbagai barang yang saya tidak tahu apa isinya.
“Bila saya tanya dia dari mana, dia beritahu keluar dengan pekerja kedai makan dan saja luangkan masa bersama setelah penat bekerja.
“Satu hari Tuhan mungkin nak tunjuk. Ketika isteri baru pulang dan sedang mandi, saya buka sebuah beg dan terkejut melihat ada tangkal, kain kuning, syiling, paku dan beberapa uncang lain yang begitu mencurigakan.
“Saya sempat ambil beberapa gambar dan tunjukkan kepada seorang ustaz dan sekali lagi saya terkejut tatkala ustaz memberitahu isteri saya melakukan sihir perniagaan kepada peniaga lain.
“Ustaz kata niat isteri cuma satu iaitu nak tutup periuk nasi peniaga lain supaya dia boleh mendominasi perniagaan di tempat itu,” katanya.
Jelas Ahmad, dia pernah bertanya sendiri kepada isterinya adakah benar dia melakukan sedimikian rupa, namun langsung tidak diendahkan.
Pernah juga memberikan nasihat dan meminta isterinya berubah ke jalan benar, tetapi semakin teruk pula hubungan mereka.
Puas berfikir dan tidak sanggup lagi hidup seperti itu, Ahmad melepaskan isteri dengan talak satu tanpa sedikit kesal dan mendoakannya agar bekas isterinya itu berubah














