SEBAIK sahaja muzik tradisional Cina dimainkan menerusi pembesar suara, dua watak opera Cina Kantonis muncul dari sebalik tirai, sebelum menuju ke ‘pentas’ utama.
Solekan tebal serta garang menghiasi wajah kedua-dua watak yang turut mengenakan busana tradisional dipenuhi sulaman, labuci dan motif hiasan.
Nyanyian nyaring dilontarkan saat watak lelaki dan perempuan itu bertukar dialog, disertai dengan gerakan lemah gemalai.
Persembahan tersebut menggambarkan Maharaja Dinasti Tang bersama gundik tercantik baginda yang sedang bercengkerama di bawah bulan purnama.
Uniknya, persembahan selama tujuh minit itu tidak dilakukan di atas pentas opera.
Sebaliknya, ia dilakukan di hadapan orang awam di Kwai Chai Hong, Lorong Panggung, Kuala Lumpur (KL).
Persembahan daripada Kam Sim Kiew Art Crew itu merupakan pelengkap kepada pameran seni sempena Perayaan Kuih Bulan iaitu Drama Queen.
Ia juga sebagai usaha Pengurusan Bai Chuan untuk memperkenalkan opera Cina Kantonis kepada warga tempatan dan pelancong.
Pameran itu dijayakan dengan kerjasama artis tempatan, Tan Sher Lynn dan ahli teknologi kreatif FABU, sambil disokong oleh Belanjawan Malaysia 2024 dan Festival Kreatif KL.
Menerusi pameran tersebut, pengunjung boleh menyelami dunia opera Cina melalui pengalaman ‘phygital’ yang menggabungkan seni fizikal dan digital.
Menurut Mahaguru Kam Sim Kiew Art Crew, Kam Sim Kiew, watak maharaja dan gundik tersebut sebenarnya dimainkan oleh dua pelakon wanita.
“Dalam opera Cina Kantonis, pemilihan watak adalah berdasarkan kedalaman lontaran suara, dan bukannya jantina.
“Oleh itu, lelaki boleh memainkan watak wanita dan begitu juga sebaliknya. Ini merupakan keunikan yang ada pada persembahan opera Cina Kantonis,” jelasnya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Secara umumnya, opera Cina berakar umbi pada Zaman Tiga Kerajaan (220-265 M) dan terus berkembang pada dinasti-dinasti seterusnya.
Seni yang dikhususkan untuk golongan istana itu melibatkan elemen muzik, tarian, seni mempertahankan diri dan drama.
Terdapat lebih 200 jenis opera Cina berdasarkan wilayah masih diamalkan di China. Sebagai contoh, opera Cina Kantonis (Yueju) terkenal dengan melodi yang mendalam serta pengaruh seni mempertahankan diri.
Opera Kunqu (Kunju) pula terkenal dengan keanggunan lirik, kandungan sastera dan tema klasiknya.
Sementara opera Sichuan (Chuanju) popular dengan teknik ‘mengubah wajah’ dan persembahan akrobatiknya.

Seni tradisional tersebut dibawa masuk ke Malaysia oleh imigran Cina pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Bentuk opera Cina yang paling lazim di Malaysia adalah opera Kantonis, opera Teochew dan opera Hokkien.
Perbezaan paling ketara antara opera Cina di Malaysia adalah dialek yang digunakan, sekali gus mencerminkan kepelbagaian kumpulan masyarakat Cina di negara ini.
Antara tahun 50-an hingga 80-an, terdapat kira-kira 180 kumpulan opera di negara ini. Namun kini, tinggal lebih kurang 10 kumpulan sahaja.
Untuk pengetahuan, Sim Kiew merupakan satu-satunya mahaguru dan pengajar opera Cina Kantonis di Malaysia yang masih aktif.
Wanita berusia dalam lingkungan 60-an itu mula menceburi bidang opera Cina Kantonis pada umur 10 tahun ketika masih tinggal di Hong Kong.
Pewaris generasi keempat keluarga opera Cina Kantonis itu kemudiannya berpindah ke Malaysia dan menubuhkan kumpulan opera Cina Kantonis pada 1988.
Pada 2012, Sim Kiew membuka Kam Sim Kiew Art Crew di Kuala Lumpur dan mula menjadi tenaga pengajar.
Katanya, opera Cina Kantonis sebenarnya berbentuk kebudayaan, namun ramai orang terutama generasi muda menyangka ia adalah persembahan keagamaan.
“Di Malaysia, kebanyakan kumpulan opera Cina ditaja oleh tokong-tokong yang sering menggunakan perkhidmatan mereka ketika musim perayaan.
“Oleh itu, timbul persepsi bahawa ia adalah persembahan keagamaan. Hakikatnya, kami turut melakukan persembahan di majlis-majlis seperti perkahwinan dan hari jadi,” katanya.
Asalnya, durasi keseluruhan persembahan opera Cina Kantonis memakan masa selama tiga hingga empat jam.
Kini, seni tersebut boleh dipersembahkan dalam masa singkat, mengikut kesesuaian majlis.
Bukan itu sahaja, penceritaan yang dipersembahkan juga tidak lagi terikat kepada hikayat-hikayat lama.
Namun jelasnya, keaslian kostum-kostum masih lagi dikekalkan dan ditempah khas dari Hong Kong pada harga sekitar RM10,000.
“Pembuatan kostum tidak mudah kerana memerlukan ketelitian sulaman. Berat sehelai pakaian boleh mencecah tiga hingga empat kilogram (kg).
“Sekiranya ditambah aksesori di belakang kostum, ia boleh mencecah sehingga 6kg.
“Untuk perhiasan kepala, beratnya lebih kurang 2kg,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran untuk melestarikan seni tradisional yang semakin ditelan zaman, Sim Kiew berkata, anak didiknya terdiri daripada mereka berusia 26 hingga 75 tahun.
Jelasnya, terdapat kesukaran untuk mendapatkan pelajar dalam kalangan anak muda kerana rata-rata mereka tidak mampu memberikan komitmen.
“Sebagai inisiatif untuk menjadikan opera Cina kantonis menarik dalam kalangan generasi muda, saya cuba merangka kokurikulum baharu.
“Sekarang mereka boleh belajar seni ini mengikut tahap tertentu sebagai pengenalan terlebih dahulu, berbanding terus dilatih menjadi pelakon,” katanya.














