fbpx
Mansor berkongsi peristiwa berdarah 1952 yang mengorbankan enam anggota polis serta penduduk kepada Kosmo! Ahad.

‘Polis kita diserang komunis ketika pergi Jumaat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Mengimbau kembali peristiwa hitam 72 tahun lalu pasti meruntun jiwa setiap penduduk apabila enam anggota polis terkorban ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Bekok, di sini suatu ketika dahulu.

Masih segar di ingatan Deputi Superintendan Mansor Omar, yang merupakan ahli Persatuan Sejarah Cawangan Johor mengenai kisah itu yang berlaku di daerah terpencil ini pada 27 Di­sember 1952.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan berkata, kisah itu diceritakan semula oleh bekas anggota polis, Rahim Ahmad yang berusia 82 tahun di kediamannya di Rumah Rakyat, Bekok.

“Pada hari kejadian, ia seperti hari-hari Jumaat biasa apabila anggota polis datang dari kawasan ladang berdekatan untuk bersama-sama menunaikan solat Jumaat. Hanya terdapat sebuah masjid di Pekan Bekok .

“Siapa pun tidak jangka komunis Bintang Tiga rupanya telah merencana sesuatu kerana mereka tahu anggota polis kebiasaannya akan bersolat pada hari tersebut,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan baru-baru ini.

Tambah Mansor, Rahim memberitahu, ketika itu dia yang baru bersiap hendak bertugas telah dikejutkan oleh rakan yang tergesa-gesa memaklumkan ada polis ditembak dan ramai yang mati.

“Dengan diketuai oleh Lans Koperal Yatam, mereka bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya lebih kurang 11 kilometer dari Balai Polis Bekok.

“Saat sampai di tempat kejadian, suasana memang sungguh menyayat hati. Motolori yang anggota polis naiki bersama orang awam telah terhumban jauh dari laluan asal.

“Ada lubang besar sedalam hampir empat kaki di tengah-tengah jalan raya, percikan darah di sana sini dan yang paling sayu, ada seorang ibu dan ba­yinya kaku sudah tidak berge­rak,” kongsinya.

Ujar Mansor, Rahim ketika menceritakan kisah itu turut ditemani rakannya, Osman Sepan, 77, yang juga berada di lokasi pada hari malang itu.

“Osman berkata, pada hari tersebut, tubuh seorang wa­nita dan beberapa anggota polis bersenjata dan orang awam bergelimpa­ngan dengan pakaian berlumuran darah.

“Saya dimaklumkan wanita tua, perempuan dan anak kecil yang terkorban itu bersama suaminya iaitu salah seorang anggota polis yang turut terkorban dalam serangan.

“Beberapa orang juga dilihat dalam keadaan cedera parah. Suasana agak tegang dan yang kedengaran cuma nama Allah disebut oleh mereka yang terce­dera,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN