MEMIKIRKAN dirinya yang sukar untuk menjalani hubungan dengan lelaki membuatkan seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Siti memilih jodoh pilihan keluarganya.
Dia mengakui bahawa usianya semakin lanjut dan ahli keluarganya risau melihatnya yang masih belum mendirikan rumah tangga.
“Sejak zaman sekolah dan universiti saya tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki disebabkan sikap saya yang pemalu.
“Malah, setelah masuk ke alam pekerjaan saya menyimpan niat untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki tetapi tidak berjaya,” katanya.
Namun, Siti menjadi rungsing apabila ibu bapanya sering bertanya bila dia akan berkahwin.
Akhirnya di berterus terang kepada ibu bapanya dan menyatakan bahawa dia tiada calon untuk dijadikan suami.
Keluarganya kemudian membantunya dan mereka menjodohkan Siti dengan anak kenalan mereka.
Siti menjelaskan, dia bersetuju kerana tidak ingin menghampakan kedua-dua orang tuanya yang ingin dia mendirikan rumah tangga sebelum mereka ‘menutup mata’.
Siti menjelaskan, calon pilihan keluarganya itu muda enam tahun daripadanya.
“Kami hanya bertemu beberapa kali sahaja sebelum berkahwin dan semua yang diatur keluarga kami berjalan dengan lancar.
“Setelah berkahwin, saya memohon untuk tukar tempat kerja bagi membolehkan kami tinggal bersama di Lembah Klang kerana suami saya bekerja di sini,” jelas wanita berusia pertengahan 30 tahun itu.
Awal perkahwinan mereka semuanya tampak biasa sahaja, malah, Siti dilayan dengan baik sekali oleh suaminya meskipun jarak umur mereka agak jauh.
Namun, setelah hampir setahun berkahwin, Siti semakin hairan melihat gaya hidup suaminya itu yang kelihatan begitu mewah. Walaupun suaminya bekerja sebagai eksekutif tetapi tidak mungkin dia boleh berbelanja sebesar itu.
“Saya tahu gajinya tidak begitu besar, tambahan pula kami tinggal di ibu kota yang serba serbi mahal.
“Suami saya ini bukanlah berasal daripada keluarga kaya, tetapi apabila melihat gaya hidupnya memang begitu mewah dari segi pakaian dan gajet yang digunakan olehnya,” terangnya.
Malah, ada ketika, suaminya itu pulang ke rumah dengan memandu kereta mewah. Apabila Siti bertanya, suaminya itu menyatakan itu adalah kereta kawannya yang dipinjam.
Ada ketikanya juga, suaminya itu tidak pulang ke rumah semalaman dan memberi alasan bahawa dia menumpang tidur di rumah rakannya setelah melepak.
“Selain itu, suami saya juga sering keluar bercuti ke luar negara, apabila saya ingin mengikutinya dia menyatakan bahawa dia pergi bercuti bersama rakan-rakannya.
“Kami boleh dikatakan bukan seperti pasangan suami isteri dan masing-masing banyak melakukan hal sendiri,” ujar Siti.
Siti berkata, suami juga tidak memberinya kebenaran untuk dia melihat telefon pintarnya. Ini kerana suaminya menyatakan itu adalah sesuatu yang peribadi.
Namun, sebagai seorang isteri, terdetik di hatinya untuk mengakses telefon pintar suaminya itu.
“Pada satu malam saya tidak dapat tidur dan hati rasa gelisah, kemudian saya mengambil keputusan untuk melihat telefon pintar suami saya.
“Saya tahu kata laluan telefon pintarnya kerana sebelum ini saya pernah melihat apa kata laluan yang digunakannya,” katanya.
Alangkah terkejutnya Siti apabila dia melihat ada perbualan WhatsApp suaminya itu bersama wanita lain.
Perbualan mereka juga cukup mesra seperti pasangan yang menjalinkan hubungan.
Malah, apabila Siti melihat galeri gambar, dia terjumpa gambar suaminya dengan wanita lain yang agak berusia yang diambil berdua di atas katil.
“Sebagai seorang isteri saya tidak tahu hendak menggambarkan perasaan saya ketika itu dan pada malam itu saya tidak tidur lena.
“Keesokan harinya setelah suami saya bangun, saya memintanya untuk menjelaskan semuanya,” katanya.
Akhirnya, suami Siti mengakui bahawa wanita itu dia telah kenal lama.
Wanita itu sebenarnya telah berusia dan kaya serta sudah lama menjadikan suami Siti itu sebagai ‘anak ikan’.
“Suami saya menyatakan bahawa dia juga sebenarnya langsung tidak mencintai saya dan berkahwin dengan saya kerana dipaksa oleh orang tua.
“Dia menjelaskan, dia gembira hidup sebegitu dengan dibela oleh seorang wanita yang dapat memenuhi segala kemahuannya,” terang Siti.
Pada waktu itu juga, suami Siti menyatakan bahawa sebolehnya dia mahu mereka berdua berpisah.
Siti amat kecewa pada waktu itu, namun tidak guna untuk dia mempertahan lagi perkahwinan mereka.
Akhirnya mereka berdua mengambil keputusan untuk berpisah dan memaklumkan kepada kedua-dua orang tua masing-masing perpisahan mereka adalah kerana tidak ada persefahaman dalam perkahwinan.
Siti dan suaminya kemudian berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.
















