KUMPULAN Cef Umpan bergambar bersama hasil tangkapan mereka semasa trip di Kuala Rompin, Pahang.

K2

Trip buru sotong mabang, tenggiri di Kuala Rompin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH beberapa kali menerima undangan untuk memancing di laut bersama sebuah kumpulan pemancing dikenali sebagai Cef Umpan, akhirnya pemuda berusia 38 tahun itu bersetuju menyertai mereka memburu sotong dan tenggiri di Kuala Rompin, Pahang.

Meskipun agak ragu-ragu dengan keadaan cuaca yang tidak menentu susulan peralihan monsun, namun Rasid Basir tetap dengan pilihan untuk mengikut rombongan itu.

Ini kerana, itu merupakan kali pertama dia mencuba lubuk memancing di sana.

Ujar pemuda berasal dari Johor itu, dia biasanya memancing di kawasan air tawar dan hanya sekali-sekala pergi ke laut bersama rakan-rakan.

“Saya pernah dua kali memancing di laut iaitu di Kuantan dan Kuala Terengganu.

“Oleh kerana belum pernah ke Kuala Rompin, maka saya ingin cuba memburu ikan di sana.

“Kali ini, saya mengikut kumpulan memancing rakan yang terdiri daripada ‘otai-otai’ pemancing laut.

“Saya juga banyak belajar daripada mereka,” katanya ketika ditemu bual di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, aktiviti memancing itu berlangsung selama satu malam dan misi mereka adalah untuk memburu sotong mabang dan ikan tenggiri.

Berkongsi tentang perjalanan memancing kumpulan tersebut, pemuda yang mesra disapa Acit itu memberitahu, mereka tiba di Kuala Rompin pada waktu malam.

Ujarnya, mereka menginap di sebuah inap desa sebelum memulakan perjalanan ke laut di sebelah pagi.

Seawal pukul 7.30 pagi, dia bersama tujuh orang rakan berkumpul di jeti Kuala Rompin sebelum memulakan perjalanan menaiki bot bersama tekong.

Destinasi pertama mereka adalah di lubuk yang mempunyai ikan kecil atau dalam bahasa pemancing adalah ikan lauk, di mana ia akan dijadikan umpan.

“Setibanya di lubuk pertama, kami menangkap ikan kecil untuk dijadikan umpan bagi menangkap tenggiri.

“Antara ikan yang dijadikan umpan adalah seperti uji rashid, ikan selar, ikan kunyit dan lain-lain.

“Kemudian, kami ke lubuk kedua dan di situlah bermulanya misi untuk mencandat sotong mabang dan menangkap tenggiri,” ujarnya.

Katanya lagi, keadaan laut pada ketika itu sangat baik, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk memancing dengan tenang sehingga petang sebelum air mula bergelora.

Acit berasa puas selepas berjaya mendaratkan ikan tenggiri.

Bercerita tentang persediaan untuk misi kali ini, Acit memberitahu, sebelum turun ke laut, ketua rombongan sudah memaklumkan tentang peralatan yang perlu dibawa untuk trip tersebut.

Kongsinya, dia telah dimaklumkan tentang saiz ‘jig’, batu mesin dan jenis tali serta batang memancing (rod) yang sesuai digunakan.

“Untuk memancing di laut, saiz mesin yang sesuai adalah antara 4,000 ke 5,000 ‘spinning reel’, manakala untuk rod pula jenis PA3.

“Mencandat sotong mabang dan memancing tenggiri mempunyai cabaran tersendiri serta perlu menggunakan teknik yang betul.

“Biasanya, main dasar (bottom) atau ‘jig’,” jelasnya.

Bagi mencandat sotong mabang, teknik yang digunakan adalah main dasar dan satu sahaja candat digunakan.

Warna candat yang digunakan juga perlulah berona terang bagi menarik perhatian sotong mabang.

Menangkap sotong mabang juga perlukan kepekaan tinggi kerana apabila sotong memakan candat, ia memberikan signal atau getaran yang sangat rendah.

“Sotong juga perlu ditarik secara perlahan-lahan sehingga mendekati bot, sebelum menaikkannya.

“Pemancing juga perlu memastikan, sotong sudah ‘memancutkan’ dakwat hitam terlebih dahulu.

“Jika tenggiri pula, cabarannya adalah untuk memastikan tali tidak terputus.

“Ini memandangkan, tenggiri adalah spesies ikan agresif dan mempunyai gigi tajam,” kongsinya.

Perjalanan memancing mereka berakhir pada pukul 4 petang memandangkan keadaan laut sudah tidak mengizinkan.

Dalam trip memancing itu, misi Acit bersama kumpulan Cef Umpan berhasil iaitu menawan sotong mabang dan ikan tenggiri.

Malah, mereka berjaya menaikkan beberapa ikan lain seperti kerisi, mata besar, apollo dan thunder.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN