ALOR SETAR – Seramai 27 peniaga pasar malam di Jalan Putra, di sini merayu pihak berkuasa tempatan membenarkan mereka berniaga di tapak asal berbanding berpindah ke lokasi baharu yang didakwa tidak strategik.
Peniaga terlibat termasuk pekerja mereka turut berhimpun secara aman di tapak pasar malam tersebut kelmarin sebagai protes terhadap perintah perpindahan daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang berkuat kuasa 1 Ogos lepas.
Menurut wakil peniaga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penjaja Pasar Malam Jalan Putra, Parwez Ahmad Nesar Ahmad, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada pejabat Menteri Besar pada 12 Ogos lepas bagi merayu campur tangannya menyelesaikan isu itu.
“Alasan yang diberikan oleh pihak majlis adalah mereka ingin membangunkan kawasan ini dan itu tidak bermakna mereka ‘nyahkan’ kami iaitu peniaga asal yang sudah 44 tahun di sini.
“Peniaga sebelum ini dipindahkan ke tapak baharu itu selama enam bulan, namun tidak ada pendapatan sehingga kami rugi, barang jualan pun tidak habis sebelum kami lari ke sini. Kita harap MBAS kekalkan pasar malam ini di sini,” katanya ketika ditemui di tapak Pasar Malam Jalan Putra, di sini semalam.
Sementara itu menurut salah seorang peniaga, Norhayati Murad, 62, lokasi baharu yang terletak di Kampung Berjaya itu disifatkan tidak strategik dan dikhuatiri menjejaskan pendapatan mereka.
“Kami pernah berniaga di situ dan tidak ‘jalan’. Ini bukan semata-mata sumber pendapatan kami sahaja tetapi pekerja kami juga. Keseluruhan terdapat hampir 40 pekerja yang bergantung harap kepada rezeki di pasar malam ini.
“Saya sudah lama berniaga pasar malam lebih 30 tahun dan sudah tiga kali berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah di sini. Sekarang kena pindah lagi,” katanya.
Dalam pada itu menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Khairuddin Idris, keputusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perlesenan pada 16 Julai lepas bertujuan memberi kemudahan kepada peniaga-peniaga di tapak baharu, yang lebih selesa.














