PETALING JAYA – Guru wanita yang dibunuh kejam sebelum mayatnya dibuang di beberapa lokasi di Melaka pada Disember lalu dipercayai dikerat kerana suspek tidak dapat mengangkat mangsa disebabkan berat.
Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dikatakan dibunuh pada hari sama dia bertemu suspek di sebuah lokasi di Johor pada penghujung Disember lalu.
Menurut sumber, selepas membunuh mangsa, suspek yang bertubuh kurus dan kecil tidak mempunyai kekuatan untuk mengangkat wanita itu yang mempunyai berat badan 57 kilogram (kg) untuk dibuang lalu memotong badannya kepada beberapa bahagian.
“Selepas membunuh mangsa, suspek yang berusia 37 tahun yang juga bekas guru membungkus anggota badan itu dan dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum dibuang di Melaka,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Suspek membuang badan dan kepala mangsa masing-masing di dalam longkang dan di kawasan semak di Alor Gajah.
Tangan dan kaki wanita itu pula dipercayai dibuang di kawasan Bemban, Jasin.
Setakat ini, hanya badan dan kepala mangsa yang dibungkus dalam plastik dijumpai di Alor Gajah pada Disember lalu dan awal bulan ini, manakala usaha mencari bahagian badan mangsa yang lain sedang giat dijalankan.
Selepas membuang mayat mangsa di Melaka, suspek yang sudah berkahwin kemudian pulang ke rumahnya di Chemor, Perak.
Difahamkan, suspek yang kini ditahan reman sehingga 19 Ogos ini kerana membunuh Istiqomah mencuci kenderaannya bagi melupuskan bukti sebaik tiba di Perak.
Lelaki itu juga dipercayai pernah menghilangkan diri selepas membunuh ibu kepada tiga anak berusia 4, 6 dan 9 tahun itu sepanjang lapan bulan wanita tersebut hilang sebelum dia dan isterinya diberkas pada minggu lepas.
Isteri suspek bagaimanapun tidak dilanjutkan reman kelmarin selepas dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan kematian Istiqomah.
Kosmo! semalam melaporkan teka-teki berhubung identiti mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang dijumpai dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah pada Disember lalu terjawab selepas disahkan sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Mangsa yang bekerja sebagai guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Johor itu dibunuh kejam apabila mayatnya dipotong kepada beberapa bahagian.
Motif pembunuhan mangsa dipercayai perbalahan berkaitan pelaburan forex. Mangsa dan suspek adalah kenalan ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan terbabit dalam forex.
Sebelum dilaporkan hilang, suspek yang juga bekas guru pernah bertemu dengan mangsa berkaitan urusan pelaburan. Lelaki itu berhenti bekerja guru dan terlibat dalam pelaburan.
Sebelum kejadian, suspek yang tinggal di Perak datang ke Johor untuk bertemu mangsa. Suspek turut mengambil gelang tangan bernilai RM20,000 dan dijual kepada pihak ketiga. Usaha mencari aksesori emas itu sedang dilakukan.
Sementara itu, di Johor Bahru, suami mangsa, Mohd Yusof Mokhtar, 35, memberitahu, keluarga arwah masih belum boleh menuntut jenazah Istiqomah untuk dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan bagi tujuan pengebumian.
Mohd. Yusof dimaklumkan siasatan mengenai kes pembunuhan kejam ke atas isterinya sedang giat giat dijalankan termasuk usaha mengesan saki baki anggota badan wanita itu yang masih belum ditemukan.
“Setakat ini, saya belum dapat panggilan sama ada dari pihak polis atau hospital berhubung tuntutan jenazah arwah isteri.
“Saya difahamkan gerakan mencari bahagian anggota badan hilang yang lain masih diteruskan, namun saya belum dimaklumkan perkembangan terkini mengenainya.
“Kami hanya menunggu buat masa ini dan berharap proses tuntutan jenazah akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita semalam.














