fbpx
UMA tidak tahan dengan bau badan suaminya sewaktu mereka bersama, selain tertekan dengan sikap suaminya yang suka kentut sesuka hati. – Gambar hiasan

K2

Wanita alami penderitaan mental hidup dengan suami pengotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAMPIR enam tahun mendirikan rumah tangga bersama dengan suami tercinta ternyata telah memberi satu penderaan mental buat seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Uma.

Apa yang membuat mental Uma tertekan adalah kerana sikap suaminya itu sendiri.

“Selepas berkahwin, baru saya mengerti bahawa suami saya ini mempunyai sikap pengotor.

“Berbeza dengan saya, saya seorang yang pembersih dan tidak suka dengan keadaan kotor,” katanya kepada K2 mengimbas rumah tangga yang pernah dibina.

Tambahnya yang kini berusia 29 tahun, sejak kecil dia dididik oleh keluarganya untuk menjadi seorang yang sentiasa dalam keadaan bersih.

Setelah hidup bersama, baru Uma menyedari bahawa suaminya itu seorang yang pengotor.

Malah, sejak awal perkahwinan mereka, berkali-kali dia berpesan agar suaminya itu mengubah sikap tersebut.

Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, suaminya langsung tidak mengubah sikap tersebut.

“Saya rasa suami saya dididik dengan persekitaran tersebut kerana apabila saya pulang ke kampungnya, ahli keluarganya juga tidak menitikberatkan aspek kebersihan.

“Kadangkala saya rasa seperti malas untuk pulang ke kampungnya kerana saya tidak gemar keadaan begitu,” jelas Uma.

Mengulas lanjut Uma berkata, antara tabiat pengotor suaminya itu termasuk malas untuk ‘flush toilet’ selepas membuang air besar.

Uma tertekan apabila melihat najis suaminya yang ada di dalam mangkuk tandas itu jika dia ingin menggunakannya.

“Apabila saya menegurnya dia berkata dia terlupa untuk ‘flush’, tetapi apabila sering dilakukan itu bukan terlupa tetapi memang sengaja.

“Selain itu, dia sering kencing berdiri dan kadangkala ada air kencingnya terkena pada bahagian tempat duduk mangkuk tandas dan dia tidak mencucinya,” jelasnya.

Selain itu, suaminya juga sering meninggalkan tuala yang telah digunakan di atas katil mereka.

Ini menyebabkan katil mereka sering menjadi lembab dan berbau.

“Biasanya dia akan pergi kerja lewat daripada saya, apabila saya pulang kerja saya melihat kain tualanya yang telah digunakannya ditinggal begitu sahaja di atas katil kami.

“Disebabkan geram dengan sikapnya itu, saya siap melekatkan nota di dalam bilik untuk mengingatkannya untuk meletakkan kain tuala di tempat sepatutnya selepas digunakan,” ujarnya.

Selain itu, Uma juga tidak gemar dengan sikap suaminya yang suka kentut di hadapannya.

Malah, ada ketika sewaktu baru berkahwin suaminya itu dengan alasan bergurau pergi kentut di hadapan muka Uma.

Uma marah dengan perbuatan itu tetapi suaminya meminta maaf dan mengatakan dia sekadar bergurau dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

“Tetapi janji hanya tinggal janji, sewaktu kami ada bersama di dalam bilik, dia juga sering kentut sesuka hatinya meskipun saya ada di sisi.

“Saya yang terpaksa keluar dari bilik apabila tidak tahan dengan bau kentutnya itu,” katanya.

Uma juga menerangkan, dia juga sebenarnya tidak tahan dengan bau suaminya itu sewaktu mereka bersama melakukan hubungan suami isteri.

“Sebolehnya ketika ingin bersama saya mahu kami berdua dalam keadaan wangi terlebih dahulu dan saya setiap kali ingin bersama, saya akan mandi terlebih dahulu.

“Tetapi tidak buat suami saya, dia tidak mandi terlebih dahulu dan dalam keadaannya badannya yang berbau selepas seharian tidak mandi membuatkan saya tidak selesa untuk bersama dengannya,” katanya.

Pada kaca mata orang lain mungkin sikap suaminya itu biasa sahaja.

Tetapi pada Uma dia tidak boleh menerimanya dan suaminya langsung tidak mengubah sikap tersebut meskipun sering kali diingatkan.

“Hal-hal kecil ini membekas dalam hati saya dan setelah sekian lama bertahan saya tidak lagi mampu untuk mempertahankannya.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpisah dengannya dan kami mencapai kata sepakat untuk membawa haluan masing-masing,” jelasnya.
Mereka berdua akhirnya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN