fbpx
Abdul Karim dan isterinya kini terlantar di rumah mereka di Felda Anggerik Jengka 1 di Maran.

Mat Intan pernah mati hidup semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Seorang warga emas yang pernah menggemparkan penduduk Kampung Malau, Ke­nering, Gerik, Perak apabila hidup semula selepas dikapankan ketika berusia dua tahun kini terlantar akibat penyakit buasir dan kencing manis berdarah.

Abdul Karim Piai, 87, kini menahan sakit di Felda Jengka 1 sejak tiga tahun lalu selain bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana asma teruk.

Katanya, dia dipanggil Mat Intan kerana dianggap anak bertuah apabila hidup semula walaupun sudah dikapankan dan berada di atas usungan sebelum tiba-tiba bersin semasa hendak dibawa ke tanah perkuburan.

“Lebih sedih apabila isteri, Juawiah Mat Salleh, 79, turut terlantar kerana mengalami minor strok dan juga kencing manis.

“Saya berasal dari keluarga petani yang serba kekurangan dan pernah mati tetapi hidup semula. Bagaimanapun, saya di­timpa penyakit kronik hingga terpaksa meminjam mesin oksigen daripada rakan,” katanya ketika ditemui.

Menurut Abdul Karim, dia berhasrat membeli mesin itu dengan kos RM5,000 tetapi tidak berkemampuan.

Tambahnya, dia hanya bergantung sepenuhnya kepada anak dan cucu bagi membantunya menguruskan diri seperti memakai lampin pakai buang, mandi, menyuapkan makanan, ubat dan susu khas.

“Banyak duit telah dibelanjakan untuk rawatan alternatif asma dan buasir tetapi masih belum sembuh,” kata bekas peneroka Felda Jengka 1 itu.

Ujar Abdul Karim, isterinya turut mengalami masalah kesihatan serius iaitu sakit lutut, pinggang, mini strok dan kencing manis hanya terbaring di katil.

“Kami hanya keluar untuk mendapat rawatan susulan di Hospital Jengka atau Klinik Kesihatan Felda Sungai Tekam Utara sahaja,” katanya.

Menurut Abdul Karim, dia memerlukan lebih RM5,000 sebulan untuk belanja keseluruhan dan membeli barang keperluan seperti susu, lampin pakai buang dan makanan lembut bagi mengganti nasi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi 019-952 9239 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156141347308.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN