TANGAN Ab. Mukhti Mohd. Rais ligat menggerakkan patung-patung wayang kulit Jawa di sebalik sebuah layar putih yang disuluh cahaya elektrik dari bahagian belakang.
Kisah Petruk Kembar diceritakan dalam bahasa Jawa sambil diiringi alunan muzik gamelan yang dimainkan oleh 12 orang pemuzik di belakangnya.
Biarpun beridentitikan wayang kulit Jawa, lelaki berusia 80 tahun itu memilih untuk memakai batik dan songkok berbanding jawi jangkep dan blangkon.
Pilihan tersebut merupakan antara perubahan yang dilakukan Ab. Mukhti sepanjang menjadi pewaris kepada seni budaya yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu.
Menurut Ab Mukhti, dia dilahirkan di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor pada era 1940-an biarpun keturunan etniknya berasal dari kepulauan Jawa, Indonesia.
“Saya merupakan generasi kedua yang tinggal di Kampung Assam Jawa. Biarpun kami etnik Jawa, tapi jiwa saya lebih sebati dengan penduduk di sini yang berbilang subetnik.
“Oleh itu, dalam usaha saya mengekalkan tradisi dari Jawa, saya cuba untuk asimilasikannya sedikit dengan budaya tempatan agar ia mudah diterima ramai,” katanya kepada K2 selepas diiktiraf sebagai Tukang Cerita Storyteller Guild yang pertama di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut merupakan kerjasama Hikayat Fandom, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Malaysian Publishers Association (MABOPA), Malaysia Board of Books for Young (MBBY) dan disokong oleh Think City.
Sebagai rekod, wayang kulit Jawa dibawa dari Jawa Tengah ke daerah Sabak Bernam pada tahun 1948 oleh Jaafar bin Marto.
Signatur wayang kulit Jawa dapat dilihat pada ‘patung’ wayangnya yang mempunyai mata jaitan untuk watak pahlawan, mata pepelangan untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak pertapa.
Pada asalnya, persembahan wayang kulit Jawa berlangsung selama lapan jam sambil diselingankan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi jemputan.
Antara alatan yang mengiringi persembahan tok dalang adalah gendang, peking, saron, gedemung, selendang, bonang, gambang, kempol dan gong sukwuk.
Berbeza dengan wayang kulit Pantai Timur yang menggunakan alat muzik lain seperti serunai dan canang, wayang kulit Jawa juga dipengaruhi budaya Jawa dan menjunjung ciri-ciri keislaman seperti memerlukan penonton berselawat sebelum menonton persembahan.
Namun, pada era 1940-an, pengamal wayang kulit Jawa masih lagi dipengaruhi unsur-unsur mistik budaya seperti penggunaan jampi dan penyediaan ‘santapan’.
Selain itu, masyarakat pada era tersebut juga memiliki pantang larang yang berat terhadap cara penjagaan alat-alat persembahan wayang kulit.
Sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai tok dalang secara rasmi pada usia 15 tahun, Ab. Mukhti telah mengubah kebanyakan amalan sesuai dengan perubahan zaman.
Secara umumnya, Ab. Mukhti masih mengingati dan menghafal lebih 400 cerita lisan dan merupakan ahli kumpulan Persatuan Seni Warisan Assam Jawa.
“Waktu kecil-kecil dahulu, saya ditugaskan untuk membuat persediaan sebelum bermulanya persembahan wayang kulit seperti cari ayam, pisang dua sisik, kuih-muih dan kemenyan.
“Tetapi apabila menjadi tok dalang, saya tidak lagi mengamalkan amalan khurafat tersebut dan sekarang, tiada pantang larang sama sekali dalam mengamalkan warisan ini,” ujarnya.
Ab. Mukhti berkata, cabaran terbesar dalam melestarikan seni warisan tersebut adalah kekurangan penggunaan bahasa Jawa di Malaysia.

Rata-rata anak muda di kampungnya sudah kurang bertutur bahasa Jawa akibat pengaruh modenisasi.
Ini membuatkan dia tidak menolak sekiranya wayang kulit Jawa di Malaysia akan mengalami satu perubahan iaitu ia dipersembahkan dalam bahasa Melayu.
“Walaupun saya merupakan satu-satunya tok dalang wayang kulit Jawa di Sabak Bernam, saya tidak risau tentang ketandusan pelapis.
“Ini kerana, wayang kulit ini diiktiraf oleh JKKN dan pelbagai inisiatif sedang dirancang untuk memastikan ia dapat diteruskan. Lebih-lebih lagi, muzik gamelan sekarang dah ada not yang memudahkan anak muda belajar ilmu gamelan.
“Kalau dahulu, pandai-pandailah kami hafal semuanya berdasarkan pemerhatian kami sendiri,” ujarnya.
Untuk pengetahuan JKKN Selangor dengan kerjasama pihak Persatuan Seni Assam Jawa dan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mustaffa Sabak Bernam telah mengadakan program perantisan wayang kulit Jawa.
Program perantisan berbentuk latihan dan pembelajaran kemahiran berkonsepkan ‘mentor mentee’ tersebut bertujuan melahirkan pewaris dan pelapis kesenian wayang kulit Jawa.
Latihan diadakan pada setiap hari Isnin dan Jumaat pada jam 9 malam hingga 11 malam bertempat di Balai Budaya Kampung Pasir Panjang, Sabak Bernam, Selangor.
Setakat ini, seramai 15 pelajar sekolah sedang mengikuti sesi latihan yang memerlukan mereka menguasai muzik gamelan dalam masa setahun sebelum boleh dilanjutkan ke peringkat seterusnya.
Salah seorang pelajar, Arif Dziyyad Mohd. Sahid mengakui minat terhadap warisan Melayu dan pernah belajar silat cimande di kampungnya.
Oleh itu, apabila diberi peluang untuk mempelajari satu lagi warisan Melayu, remaja berusia 13 tahun tersebut tidak mahu melepaskan peluang tersebut.
Katanya, kini dia dan rakan-rakan telah menguasai tiga lagu gamelan dalam masa sebulan belajar iaitu manis, menuro dan salak.
“Walaupun saya tidak boleh bertutur bahasa Jawa dan faham sikit-sikit sahaja, saya tertarik apabila cikgu sekolah ajak kami mempelajari seni ini.
“Buat masa ini, saya memegang posisi gendang dalam muzik gamelan dan sangat seronok belajar alat-alat muzik tradisional ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak, Alif Mohd. Pahrurazi menyertai program perantisan setelah diperkenalkan oleh datuknya.
Kanak-kanak berusia 12 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong itu mendedahkan dia memegang posisi pemukul gong.
“Datuk saya meminati wayang kulit dan selalu bawa saya menonton di Balai Budaya. Lama-kelamaan, saya minat untuk belajar warisan berkenaan,” jelasnya.
















