KETIKA merancang aktiviti untuk mengisi cuti panjang, wanita itu tertarik dengan satu aktiviti santai membuat batu bata daripada tanah di Batu Arang, Selangor yang diceritakan rakannya.
Meminati hobi berkaitan seni, dirinya tidak berfikir panjang dan memutuskan untuk menyertai aktiviti tersebut serta pada masa sama menikmati keindahan Batu Arang yang juga merupakan salah satu tarikan pelancongan di Selangor.
Setibanya di Batu Arang, pekerja swasta, Cheah Hui Ting, 40, memberitahu, dirinya tidak salah memilih aktiviti tersebut yang pada masa sama menjadi terapi buat dirinya daripada tekanan pekerjaan.
“Ini merupakan kali pertama saya mencuba aktiviti membuat batu bata daripada tanah yang memberi peluang untuk saya merasa keseronokan bermain kotoran selain belajar benda baharu berkait dengan seni.
“Saya juga tidak menyangka bahawa bermain dengan tanah dapat memberikan satu terapi dan sepanjang proses pembuatan, saya dan rakan-rakan lain tidak berasakan bahawa ia memenatkan sebaliknya kami sama-sama gembira,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya, daripada aktiviti tersebut, wanita asal Kuala Lumpur itu turut belajar sesuatu yang baharu bahawa sumber semula jadi iaitu tanah juga boleh dimanfaatkan dan diterokai sebagai bahan seni.
Juga pertama kali mencuba aktiviti membuat batu bata, lelaki asal Johor Bahru yang hanya mahu dikenali sebagai Jacky, 46, turut merasakan bahawa tanah kini bukan sebagai kotoran tetapi sumber bahan seni pelbagai guna, mapan dan mesra alam.

Katanya yang turut membawa keluarga menyertai program tersebut, aktiviti tersebut telah membuka matanya tentang manfaat baharu tanah sekali gus memberikan pendedahan buat anak-anaknya tentang aktiviti bermanfaat selain bermain telefon pintar.
“Saya mengetahui tentang aktiviti ini menerusi media sosial dan memutuskan untuk membawa anak-anak mencuba dan merasai pengalaman, melihat dunia luar, sekali gus mengembangkan kreativiti mereka menerusi seni.
“Aktiviti ini membuatkan saya melihat tanah dari perspektif yang berbeza, ia bukanlah sekadar tanah tetapi sebuah karya seni yang belum dibentuk oleh tangan individu kreatif dan boleh juga digunakan untuk mendirikan infrastruktur,” ujarnya.
Kongsinya, aktiviti tersebut juga amat sesuai untuk dilakukan bersama keluarga kerana proses pembuatannya memerlukan kerjasama setiap yang terlibat daripada membancuh, mencetak hingga ke produk akhir.
Aktiviti membuat batu bata di Batu Arang merupakan salah satu program di bawah projek Dung Beetle, A Participatory Dirt Exploration oleh pelukis dan guru seni, Cheng Yen Pheng, 41, yang meneroka tanah sebagai sumber mapan untuk seni kreatif.
Menariknya, aktiviti bersuka ria dengan tanah atau membuat batu bata tanah itu turut dipilih sebagai salah satu seni yang diketengahkan kepada orang ramai dalam Festival Tukang Design & Craft (Tukang 2.0) di Petaling Jaya baru-baru ini.
Memulakan projek sejak tahun lalu, Yen Pheng, mula tertarik untuk memilih subjek tanah selepas melihat dan mengikuti perkembangan projek inisiatif komuniti untuk alam sekitar di Balik Pulau, Pulau Pinang iaitu Projek M.A.R.S.
Katanya, dia tertarik dengan usaha projek tersebut yang mengusahakan infrastruktur menggunakan batu bata yang dibuat sendiri daripada campuran tanah.
“Saya sedia maklum tentang penggunaan tanah dalam seni tetapi melihat kepada usaha Projek M.A.R.S. telah memberikan saya ilham untuk meneroka tanah dan mencuba pelbagai cara memanfaatkannya dalam bentuk seni.
“Salah satunya saya cuba membuat batu bata tanah yang pada awalnya saya belajar sendiri dengan merujuk pelbagai sumber pada Disember tahun lalu dan dalam masa sama saya menggunakan tanah untuk membuat oven dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan,” kongsinya.
Katanya lagi, dalam proses mempelajari cara membuat batu bata dia belajar bahawa pembuatan bahan tersebut daripada tanah merupakan teknik yang sudah lama wujud dan ia menjadi standard seni bina vernakular di beberapa kawasan yang lebih panas terutamanya di bahagian Afrika dan Asia Barat.

Dalam proses pembuatannya, bahan yang diperlukan juga boleh didapati di sekitar kawasan tempat tinggal iaitu tanah merah, serat tumbuhan seperti lalang atau kulit batang pisang dan air yang dicampurkan menjadi satu sebatian sebelum dicetak menjadi batu bata.
Proses pembuatan batu bata tanah dimulakan dengan mencampurkan tanah dengan air hingga menjadi sebatian yang boleh dibentuk seperti tanah liat.
Kemudian serat tumbuhan dicampur dan Yen Pheng menggunakan kulit pokok pisang yang dicarik menjadi helaian halus sebagai pengikat kepada tanah yang dibentuk menjadi batu bata.
“Nisbah bahan-bahan ini berasaskan ‘konsep agak-agak’ sehingga tanah boleh mengekalkan bentuknya dan tidak terlalu berair. Dalam mengadun tanah, saya bukan hanya menggunakan tangan tetapi turut memijaknya untuk memastikan ia hancur dengan lebih rata serta lebih tercampur.
“Proses inilah yang menjadi terapi kepada sesetengah pihak yang mana mereka dapat merasakan sendiri tekstur tanah tersebut sambil bermain dengan kotoran seperti mana kanak-kanak yang membesar di kampung,” jelasnya.
Kongsinya, selepas sebatian tanah siap diadun, ia akan dicetak kepada saiz besar atau kecil, kemudian dijemur sehingga kering sebelum boleh digunakan bagi pembuatan infrastruktur seperti rumah kecil, pondok dan sebagainya.
Proses pengeringan mengambil masa antara dua hingga tujuh hari bergantung kepada saiz dan cuaca, sebagai proses tambahan untuk menguatkan lagi batu bata, selepas kering ia akan dibakar di dalam oven.
Di Malaysia, batu bata tanah bukanlah bahan binaan yang biasa digunakan memandangkan penggunaan batu bata simen sudah dominan terutama dalam pembinaan rumah.
Pembuatannya juga sekadar usaha individu yang bersandar kepada seni dan hobi serta projek eksplorasi seperti yang diusahakan oleh Yen Pheng.
Kata wanita itu lagi, dia percaya bahawa batu bata tanah boleh menjadi sumber yang mapan kerana Malaysia kaya sumber tersebut selain boleh dikitar semula menjadikannya lebih mesra alam.














