LIPIS – Durian kampung di perkampungan Orang Asli Pos Betau di sini mendapat permintaan tinggi kerana bukan sahaja mempunyai rasa yang sedap malah dijual dengan harga serendah RM4 sekilogram.
adi, tidak hairanlah apabila perkampungan Orang Asli berkenaan sering dikunjungi penggemar raja buah dari luar yang ingin menikmati atau menjual buah berkenaan.
Pemilik kebun durian Adin Kapit, 37, berkata, pokok durian di dusunnya seluas kira-kira 0.4 hektar berbuah lebat kali ini dan mendapat permintaan daripada penggemar durian.
“Tahun ini, saya berasa lega kerana memperoleh rezeki apabila pokok durian kampung berbuah lebat yang mana dianggarkan kira-kira 1,000 biji sudah mula gugur.
“Saya terpaksa membawa isteri dan lima orang anak berkhemah berdekatan dusun ini untuk mengutip buah yang gugur lalu dijual kepada penduduk di sini termasuk peraih luar yang datang membeli,”katanya di Kampung Kenip, Pos Betau dekat sini.
Menurut Adin, dia sudah menjangka buah durian di dusun miliknya lebat berikutan banyak bunga sebelum ini di semua pokok yang ditanam oleh bapanya sejak 30 tahun lalu.
Katanya, dia kerap turun ke dusun setiap hari untuk menjaga pokok durian berkenaan supaya tidak diganggu tupai, kera dan haiwan lain yang datang dari hutan simpan berdekatan.
“Penjagaan yang rapi mengurangkan gangguan haiwan liar selain membolehkan buah ini membesar, nampaknya tahun ini rezeki berbaloi buat saya dan keluarga kerana buahnya sungguh lebat,”katanya.
Dalam pada itu Adin berkata, buah durian hasil tanaman kebunnya sudah dikenali oleh peraih dari pekan Sungai Koyan dan bandar Raub termasuk penduduk tempatan di sekitar daerah ini.
“Isinya tebal, lembut dan putih serta baunya cukup menyelerakan ketika mula dibelah kulit,”katanya.














