fbpx
GAMBAR HIASAN

Duit lesap, motosikal pun ghaib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menawarkan motosikal dan kereta terpakai dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran menjadi modus operandi sindiket penipuan jual kenderaan di media sosial untuk memerangkap mangsa.

Sindiket terbabit juga berani ‘mengklonkan’ nama syarikat kenderaan sedia ada dan menggunakan gambar kenderaan syarikat yang sah itu serta milik orang lain dalam iklan penjualan mereka bagi meyakinkan lagi pembeli.

Seorang pekerja swasta yang dikenali sebagai Tajuddin, 30, berkata, dia antara mangsa scammer sindiket terbabit yang masih aktif mencari mangsa di media sosial.

Menceritakan pengalaman yang dilalui setahun lalu, lelaki itu memberitahu, pada awalnya dia melihat iklan menjual motosikal jenis Yamaha 135LC terpakai menerusi satu kumpulan di Telegram.

“Ketika itu saya baru dua bulan bekerja di Kuala Lumpur dan memerlukan motosikal untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Biasalah, awal kerja gaji pun masih rendah dan simpanan yang ada pun boleh beli motor kurang daripada RM5,000.

“Saya sudah buat tinjauan di kedai motor sekitar Kuala Lumpur, tetapi semuanya mahal. Di Selangor pun lebih daripada bajet saya.

“Kemudian saya cari di media sosial dan jumpa satu kumpulan Telegram. Saya nampak ada orang iklankan motosikal Yamaha 135LC kononnya miliknya de­ngan harga RM4,000 sahaja,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tertarik dengan harga ‘durian runtuh’ itu selain keadaan motosikal tersebut yang kelihatan seperti baharu, Tajuddin terus meng­hubungi penjual dan membayar wang pendahuluan se­banyak RM200.

“Penjual itu kata duit deposit tersebut untuk dia turunkan semula iklan jualan daripada Telegram. Katanya siapa cepat bayar deposit dia akan dapat motosikal murah itu.

“Takut kehilangan motosikal murah itu, saya tanpa berfikir panjang bayar deposit dan keesokkan harinya buat pembayaran penuh iaitu RM3,800 lagi.

“Penjual itu menjanjikan motosikal tersebut akan sampai dalam tempoh tiga hingga empat hari. Saya pun sangat seronok ketika itu, tak sabar-sabar nak pakai motosikal LC,” ujarnya.

Tajuddin berkata, selepas seminggu, motosikal masih tidak diterima dan penjual terbabit tidak membalas mesej WhatsApp, malah gagal dihubungi.

“Saya sudah mula risau, duit pun telah bayar habis. Dari se­minggu, ia berlarutan sampai ke dua bulan, saya masih tak dapat motosikal LC saya.

“Akhirnya saya baru buat laporan polis dan tersedar saya sebenarnya telah menjadi mangsa scammer. Sangat sedih, sebab itu sahaja simpanan yang ada, habis begitu sahaja duit dan sia-sia,” ujarnya.

Seorang pembuat kandungan, Jess, 28, pula mengakui dia bukan sahaja kerugian puluhan ribu ringgit, malah turut diugut oleh sindiket jika melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Katanya, dia berurusan de­ngan penjual melalui WhatsApp untuk membeli sebuah kereta terpakai jenis Honda City V i-VTEC 1.5 keluaran 2014 selepas melihat iklan di Facebook sekitar Januari lalu.

Katanya, dia juga bersetuju dengan harga yang ditawarkan serendah RM30,000 sahaja iaitu 10 peratus lebih murah daripada harga pasaran semasa.

“Saya kemudian membuat 10 kali bayaran berjumlah RM12,000 dengan pemindahan wang secara online ke empat akaun bank dalam masa sebulan, kononnya untuk pelbagai urusan.

“Setiap kali saya tanya penjual bila nak hantar kereta dari Me­laka ke Selangor, banyak alasan diberi dan setiap kali itu juga dia akan minta saya buat bayaran itu ini.

“Sampai ada dia minta hampir RM4,000 dengan alasan untuk yuran peguam dan beberapa jenis cukai sebelum kereta saya lulus untuk dikirimkan,” ujarnya.

Tambahnya, dia akhirnya tidak lagi membuat bayaran selepas menyedari telah tertipu sebelum membuat laporan polis dan aduan kepada pihak berkuasa lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Kamal, 30, berkata, dia telah membeli sebuah kereta murah daripada sebuah syarikat kenderaan melalui iklan di media sosia.

“Saya tengok syarikat itu memang wujud, jadi saya yakin. Bagaimanapun, selepas buat bayaran saya pergi ke kedai ken­deraan terbabit, tetapi malang­nya nama saya tiada dalam sebarang urusan pembelian kereta.

“Rupa-rupanya saya ditipu. Orang yang berurusan dengan saya bukan pihak kedai, sebaliknya scammer. Sindiket ini licik, macam-macam promosi dan lelongan dibuat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN