fbpx
Ada pencari kerja sanggup mengemukakan sijil akademik palsu semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan selain menikmati kenaikan gaji. – GAMBAR HIASAN

Setahun makan gaji haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cubaan beberapa pekerja di sebuah syarikat pembuatan yang memalsukan sijil akademik semata-mata untuk mendapatkan kerja selain menikmati kenaikan gaji mengundang padah apabila tindakan itu berjaya dihidu majikan.

Mendedahkan perkara itu, seorang pengawai sumber manusia dikenali Ying berkata, setakat ini seramai tiga pekerja telah dibuang kerja pada tahun lalu selepas pihak syarikat mengesan penipuan membabitkan ­dokumen akademik mereka.

Katanya, pekerja terbabit dipercayai telah membeli sijil ijazah sarjana muda dari platform media sosial semata-mata untuk mendapatkan kerja di syarikat berkenaan.

Jelasnya lagi, individu tersebut juga berani meletakkan keputusan cemerlang di sijil berkenaan untuk memenuhi syarat-syarat kelayakan jawatan yang ditawarkan syarikat.

“Seorang pekerja adalah daripada jabatan pemasaran. Masa datang temu duga, dia tunjuk semua kelayakan yang ada mengikut syarat yang diperlukan oleh syarikat.

“Ini kerana, syarikat memang sudah tetapkan calon yang ditemu duga itu perlu sekurang-kurang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perniagaan atau bidang berkaitan dengan CGPA (Purata Nilai Gred Kumulatif) 3.2 dan ke atas.

“Selepas menilai akademik cemerlang pekerja terbabit dan mengambil kira pengalaman dua tahun dalam bidang pemasaran, pihak syarikat akhirnya setuju menawarkan kerja kepadanya pada tahun 2022 lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Ying, pihak syarikat semenangnya mempunyai sebuah pasukan kerja yang akan menilai dan memeriksa semula setiap dokumen pendidikan pekerja meskipun mereka sudah lama berada dalam syarikat.

“Selepas setahun bekerja dengan syarikat, kumpulan kami berjaya membuktikan sijil pekerja tersebut adalah palsu dan tidak diiktiraf. Hasil siasatan lanjut mendapati sijil itu dipercayai dibeli secara haram,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Ying berkata, situasi sama turut berlaku kepada dua lagi pekerja lain yang didapati membeli sijil akademik palsu untuk permohonan kenaikan gaji.

“Dua pekerja ini sudah lebih tiga tahun bersama dengan syarikat kami. Bagaimanapun, bahagian sumber manusia terkejut apabila mereka tiba-tiba memohon kenaikan gaji dengan alasan sudah ada degree (ijazah sarjana muda).

“Di syarikat kami memang ada sediakan peluang untuk pekerja mohon kenaikan gaji sekiranya mereka mempunyai tahap pendidikan yang baik, tapi kalau yang menipu begini memang syarikat tidak suka,” katanya,

Tambahnya, penipuan dua pekerja itu terbongkar selepas mereka tidak pernah sekalipun memaklumkan kepada syarikat mengenai keputusan untuk me­nyambung pelajaran.

“Memang agak pelik kerana tiba-tiba sahaja mereka ada ijazah sedangkan dua pekerja ini tidak pernah memaklumkan apa-apa kepada syarikat,” tegasnya.

Menurut Ying, pihak syarikat memang mementingkan tahap pendidikan pekerja bagi mengisi jawatan tertentu terutama melibatkan jabatan penting bagi kelancaran operasi.

“Kami juga akan sentiasa pastikan setiap pekerja benar-benar layak berada di jawatan mereka dan berbaloi dibayar ikut kelulusan sedia ada. Pihak syarikat tidak akan berkompromi sama sekali dengan pekerja yang me­nipu terutama melibatkan dokumen akademik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pekerja yang menipu sehingga diberhentikan kerja serta-merta itu tidak diberi sebarang pampasan selain gaji bulan terakhir juga tidak dibayar sebagai ganti rugi.

Terdahulu, Kosmo! menerusi laporan khas bersiri mendedahkan terdapat sindiket penjualan sijil akademik palsu yang mempromosikan kegiatan mereka di Facebook dan Instagram dengan tawaran harga serendah RM1,500 hingga RM4,000.

Antara pelanggan kepada sindiket ini adalah mereka yang terdesak dalam mendapatkan pekerjaan dan memerlukan keputusan akademik cemerlang bagi mengaburi mata pihak majikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN