fbpx
TIDAK pernah lelah dalam menyuntik rasa simpati masyarakat terhadap bumi Palestin. Sepertinya itu jihad kecil yang rancak dilakukan aktres, Fazura dalam media sosialnya sejak tahun lalu.

Saya tak sanggup tinggalkan suami – Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA selebriti lain kembali sibuk menjadi ‘alat promosi’ jenama pro-Israel, berbeza pula dengan pendirian sosok bernama Fazura.

Tegas dengan pendirian untuk terus lantang bersuara dan berkongsi tentang bumi Palestin dalam media sosial, Fazura bertekad, tidak akan gentar dengan suara-suara sinis yang singgah di telinganya.

Berisiko diboikot dan tiada tawaran promosi jenama antarabangsa. Situasi sebegitu yang selalu dimomokkan terhadap aktres berusia 41 tahun itu.

Namun baginya, semua itu bukan alasan untuk berhenti daripada melakukan jihad kecil yang sekurang-kurangnya mampu menjentik rasa simpati terhadap penduduk Palestin.

Tegas pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu, rasa takut mahu pun bimbang tidak pernah wujud dalam dirinya sebaliknya sentiasa percaya dengan setiap rezeki yang sudah diaturkan Tuhan.

FAZURA sanggup diboikot pihak tertentu kerana lantang bersuara tentang Palestin. – FIRDAUS JOHARI

Palestin

“Semuanya datang dari Allah. Alhamdulillah, Tuhan berikan saya kekuatan itu.

“Memang ramai yang risau dan takut kalau selepas ini tak dapat tawaran kerja dan sebagainya, tetapi ini jihad saya.

“Allah tahu niat saya. Jadi, saya yakin bahawa rezeki datang daripada-Nya dan tak risau sama ada akan ada tawaran kerja ataupun tidak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tanpa sedar, kesungguhannya berkongsi tentang Palestin turut membuatkan ramai pihak yang berminat untuk menjalin kolaborasi bagi memperhebat kempen mengenai negara bergolak tersebut dalam media sosial.

“Saya hanya lakukan tugas sebagai seorang muslim dan tidak mengejar sebarang pengiktirafan pun.

“Namun syukur apa yang saya buat itu ada juga pihak yang sedar dan semua kolaborasi adalah tawaran daripada mereka.

“Kami juga ada salurkan bantuan bersama dan kerjasama itu yang membuatkan kami nekad untuk terus menyebarkan maklumat tentang Palestin kepada dunia,” katanya lagi.

FAZURA menafikan hubungannya dengan Fattah sedang retak menanti belah.

Dalam masa sama, bintang filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu mengakui, rasa simpati yang menebal sehingga terlalu kerap memuat naik tentang Palestin juga antara punca dia kurang berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial.

Perkara itu tanpa sedar mengundang buah mulut ramai sehingga tercetus khabar angin kononnya rumah tangga bersama Fattah Amin kini goyah.

“Palestin juga menjadi sebab kenapa saya kurang berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial sebab saya rasa tak adil untuk paparkan kebahagiaan bersama suami dan anak ketika ini.

“Kita sibuk tayang bahagia sedangkan golongan ibu di sana menangis dan meratapi kehilangan anak-anak mereka. Itulah pendirian saya buat masa ini.

“Mudah-mudahan, kita semua terus berjuang bersama mewakili suara-suara mereka di sana,” jelasnya sekali gus menolak dakwaan hubungannya dengan Fattah seperti retak menanti belah.

FAZURA teringin menyahut cabaran berlakon sinetron di Indonesia.

Sinetron

Menoktahkan cerita tentang jihad kecil dan kisah rumah tangga, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu melahirkan hasrat untuk membintangi sinetron atau drama rantaian di Indonesia.

Menurut Fazura, tawaran yang hadir daripada produksi negara jiran membakar semangatnya untuk melebarkan sayap di sana.

Tuturnya, peluang tersebut ibarat transisi kerjaya, selain mampu mencabar kemampuan lakonannya.

“Bagi saya, kalau nak kembangkan kerjaya memang perlu berani lakukan perubahan.

“Sebelum ini saya sudah membintangi lima atau enam buah filem di sana tetapi sekarang saya nak cuba sinetron.

“Impak filem memang besar, namun realitinya, pasaran terbesar di Indonesia didominasi sinetron,” ujarnya yang baru melancarkan 12 koleksi tudung sempena Hari

Merdeka bersama Prospec KPM X Fazura baru-baru ini.

FAZURA menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia melancarkan 12 koleksi tudung sempena Hari Kemerdekaan 2024.

Fazura turut mengakui sudah menerima beberapa tawaran lakonan daripada produksi Seberang, namun masih dipertimbang.

Meskipun jiwanya meronta untuk mencuba sesuatu yang baharu, Fazura mengambil masa untuk menerima tawaran tersebut kerana perlu meninggalkan keluarganya dalam tempoh yang agak lama.

“Ya, sudah dapat tawaran tapi saya perlu berfikir panjang sebab sinetron sampai beratus atau beribu episod.

“Saya tak sanggup nak tinggalkan anak dan suami dalam tempoh yang lama, ditambah pula sinetron menuntut komitmen yang tinggi dan perlu bersedia mental serta fizikal,” kongsi ibu kepada seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.

Dia menambah, ramai rakan selebriti di Indonesia turut berkongsi cabaran sepanjang penggambaran drama sinetron.

JARANG berkongsi bahagia bersama suami dan anak menjadi punca hubungan Fazura dan Fattah didakwa sedang bermasalah.

“Rakan-rakan artis di sana pun ada yang tak percaya bila saya luahkan hasrat ingin berlakon sinetron.

“Mereka sangat memahami tentang kesukaran berlakon sinetron. Bayangkan, tiga episod boleh selesai dalam satu hari sahaja dan memang jauh berbeza dengan cara kerja produksi di sini.

“Kalau terlibat dengan sinetron, setiap hari bangun tidur terus kerja dan kerja, macam tiada kehidupan tetapi itulah cabarannya. Saya memang teringin nak cuba,” ujar Fazura menutup perbualan.

FAZURA masih mempertimbang tawaran berlakon sinetron di Indonesia kerana harus berjauhan dengan suami dan anak.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN