Keharmonian yang dinikmati pelbagai kaum yang mendiami Malaysia sentiasa menjadi salah satu perkara yang menjadikan negara ini begitu disegani di serantau dunia.
Di Perak, keadaan itu juga tidak terkecuali yang mempengaruhi pelbagai aspek dalam kehidupan seharian masyarakat.
Pergaulan antara pelbagai bangsa di Perak yang direkodkan sejak zaman berzaman terus dinikmati hari ini dengan banyak pencapaian diraih warga negeri ini.
Bidang muzik turut tidak terkecuali apabila banyak pemuzik tanpa mengira kaum yang dilahirkan di negeri ini. Mereka yang popular dari Perak termasuk Allahyarham Datuk M. Daud Kilau, Datuk Jamal Abdillah, kumpulan Bittersweet, MAY, SYJ dan Teja.
Mengukuhkan lagi kekuatan tersebut ialah pengiktirafan terhadap Bandar Raya Ipoh menerusi penyenaraiannya sebagai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik pada tahun lalu.
Menerusi penyenaraian berkenaan, Ipoh kini gah berdiri di sisi 350 bandar di lebih 100 negara yang mewakili tujuh bidang kreatif iaitu Kraf dan Seni Rakyat, Reka Bentuk, Filem, Gastronomi, Sastera, Seni Media dan Muzik.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, penyenaraian itu terhasil atas komitmen penuh pihaknya dalam memperjuangkan seni kebudayaan dan kreativiti.
Beliau berkata, Ipoh tidak lekang dengan kepelbagaian genre muzik apabila genre seperti Melayu tradisional serta indie dan rock dapat dinikmati oleh peminat muzik tersebut di bandar raya itu sejak zaman berzaman.
“Pada masa kini, ia akhirnya telah mencipta kepada suatu identiti unik iaitu ‘Ipoh New Sound’. Muzik acculturated, fusion dan contemporary folk turut menjadi sebahagian genre yang menjadi kekuatan industri muzik di bandar ini.
“Turut menjadikan bandar raya ini istimewa adalah elemen tradisional masih lagi dikekalkan. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan terus menyokong pembangunan industri muzik di sini dan banyak perancangan kita akan laksanakan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Menurut Rumaizi, Ipoh berpotensi untuk dikembangkan setaraf dengan Broadway di New York, Amerika Syarikat (AS) yang cukup terkenal sebagai pusat seni teaternya.
Ujarnya, adalah menjadi harapan beliau agar Ipoh diangkat menjadi sebuah bandar raya yang berperanan sebagai kota pengembangan industri muzik tanah air.
Sehubungan itu, beliau berkata, empat perkara yang perlu dilaksanakan mereka selari dengan pengiktirafan UNESCO tersebut harus diberikan keutamaan serta disempurnakan MBI.
“Perkara pertama ialah melibatkan bidang pendidikan, yang mana kita perlu meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai muzik di sini. Ia (muzik di Ipoh) tidak boleh dianggap suatu yang asing.
“Keduanya berkaitan dengan infrastruktur. Kami berperanan untuk meningkatkan infrastruktur melibatkan seni,” katanya yang turut memberitahu, MBI giat membangunkan kemudahan-kemudahan bagi tujuan itu seperti Amphitheatre di Laman Sejahtera di Ipoh.
“Unsur ketiga pula adalah untuk memastikan penggiat seni dan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan mampu menjana pendapatan daripada bidang tersebut,” katanya.

Perkara terakhir, menurut Rumaizi adalah bagi memperkukuh kolaborasi antara penggiat seni tidak kira dari dalam mahupun luar negara, beliau memberitahu MBI sentiasa mewujudkan peluang bagi para artis membuat persembahan di Ipoh pada setiap bulan.
“Pengiktirafan UNESCO ini ada tempohnya iaitu empat tahun. Jadi dalam waktu tersebut, keempat-empat perkara berkenaan perlulah ditunaikan dan kita telah berjaya menyempurnakan banyak perkara terkandung di dalamnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri Perak turut memberikan sokongan dalam menjadikan Ipoh sebuah kota pengembangan muzik, antaranya menerusi kolaborasi MBI dengan People of Remarkable Talent (PORT).
“Dana Kreatif Perak@PORT yang disalurkan kepada anak-anak seni Ipoh bukan sahaja dalam industri seni muzik, malah merangkumi seni filem, seni visual, seni persembahan dan pelbagai lagi bidang kesenian kreatif,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, Ipoh yang kini berada di pentas dunia ekoran pengiktirafan UNESCO tersebut merupakan kejayaan yang harus dibanggakan dan perlu diberikan sokongan berterusan.
Bagi tujuan tersebut, katanya, pihaknya turut memainkan peranan dalam membantu bandar raya terbabit mengekalkan reputasi berkenaan menerusi salah satu perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya iaitu arkib muzik.
Beliau menjelaskan, Arkib Muzik Perak yang terletak di PORT Ipoh menghimpunkan pelbagai jenis maklumat, data serta artifak seni dan budaya membabitkan seniman yang berasal dari negeri ini.
“Antara yang dikumpul di arkib itu adalah piring hitam, kaset, keratan akhbar atau apa sahaja bahan yang mengandungi maklumat-maklumat penting. Di Arkib Muzik Perak kini mempunyai lebih 2,000 unit bahan yang berjaya dikumpul.
“Bahan terawal yang berjaya dimiliki oleh arkib ini adalah selampau tahun 1948 iaitu buku program konsert UMNO. Ia dalam bentuk salinan digital,” katanya.
Nur Hanim berkata, pihaknya bercadang untuk melancarkan laman web Arkib Muzik Perak pada tahun ini dengan kandungan dalam bentuk digital akan dimuat naik ke laman web berkenaan bagi tatapan orang ramai.
Menurutnya, usaha mereka untuk mengumpul bahan-bahan berkaitan seni juga mendapat sokongan daripada kumpulan ataupun waris-waris pengkarya terbabit yang tampil bertemu dengan PORT bagi tujuan itu.
“Sebagai contoh, waris kumpulan The Fabulous Falcons ada menyerahkan kepada kami gambar-gambar dan album mini atau extended play (EP). Ia merupakan antara bahan yang dicari-cari kami,” katanya.
Nur Hanim berkata, pengiktirafan UNESCO itu juga mendedahkan kepadanya bahawa begitu ramai penggiat seni klasikal yang berada di Ipoh.
Antara persatuan kaum Cina yang aktif di Ipoh termasuklah Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh, Persatuan Seni Kebudayaan India Greentown mewakili komuniti India bahkan persatuan Orang Asli juga turut bergiat aktif.
Dalam pada itu, gitaris kumpulan Bittersweet, Herri berkata, menerusi pengiktirafan UNESCO berkenaan, beliau berharap pihak MBI serta kerajaan negeri lebih proaktif menyediakan kemudahan untuk pemuzik-pemuzik tempatan.
Kata pemilik nama Hazairi Abdul Hamid itu, langkah itu perlu dilaksanakan kerana Ipoh sentiasa melahirkan ramai pemuzik terutamanya band-band indie.
“Bagaimanapun, peluang yang terhad sebelum ini membuatkan rata-rata mereka mencari rezeki di luar negeri seperti di Kuala Lumpur, Johor serta Singapura,” katanya.
















