TIDAK masuk akal jika peminat sukan tempatan mahu melihat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menaiki podium acara 100 meter (m) pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya secara rasmi hari ini.
Bukan menidakkan kemampuan tetapi realistiknya kita haruslah berpijak di bumi nyata berdasarkan prestasi dan catatan semasa anak jati Teluk Intan, Perak itu.
Pelari berusia 20 tahun itu perlu berentap dengan jaguh-jaguh handalan dunia antaranya juara Olimpik dari Itali, Marcell Jacobs yang mempunyai catatan masa 9.80 saat (s) ataupun bintang Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles (9.81s).
Masa terbaik Azeem ketika mencipta rekod 100m kebangsaan adalah 10.09s di Cali, Colombia pada 2022 dan lebih sukar apabila dia masih gagal merakam masa bawah 10.20s dalam 10 perlumbaan 100m sepanjang tahun ini.
Jadi Azeem sepatutnya menikmati perlumbaan di Paris 2024 dengan tujuan menimba pengalaman sebelum kitaran Olimpik seterusnya iaitu edisi Los Angeles 2028 (LA28).
Pertama, Azeem perlu memastikan masa lebih baik berbanding pencabar dari Asia Tenggara seperti jaguh pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang berumur 24 tahun dan bintang Thailand berusia 18 tahun, Puripol Boonson.
Buat masa ini, Lalu yang pernah bergelar raja pecut remaja dunia 2018 masih memegang masa terpantas Asia Tenggara menerusi catatan 10.03s dilakukan pada 2019 diikuti Puripol dengan 10.06s diciptanya tahun lepas.
Ini bagi memastikan penuntut Universiti Auburn di Alabama, AS itu meraih bekalan keyakinan terbaik dalam persediaannya untuk merealisasikan impian Malaysia meraih pingat emas acara 100m pada Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung Disember tahun depan.
Kedua, Azeem perlu melepasi peringkat saringan yang akan berlangsung di Stade de France pada 3 Ogos ini dan layak sekurang-kurangnya ke suku akhir jika dinilai menerusi masa terbaiknya 10.09s bagi memastikan penyertaannya menerusi tiket wildcard tidaklah sia-sia.
Seandainya berjaya mencipta kejutan ke separuh akhir, ia sebenarnya boleh dianggap satu pencapaian luar biasa buat Azeem kerana tiada mana-mana pelari dari Malaysia pernah melakukannya dalam acara 100.
Pencapaian terbaik sebelum ini pun melalui legenda olahraga negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan yang pernah beraksi dua kali di peringkat separuh akhir acara 200m pada edisi Tokyo 1964 dan Mexico City 1968.
Justeru, Azeem perlu memanfaatkan peluang berlumba di atas trek berkualiti antarabangsa dengan atlet-atlet terbaik dunia untuk cuba mencatat masa bawah 10s, sekali gus menjadi pelari Asia Tenggara pertama mencipta sejarah menakjubkan itu.
Jika berjaya, Azeem akan menjadi pelari Asia ke-10 berjaya mencipta catatan bawah 10s untuk 100m dengan masa terpantas ketika ini dipegang pemegang rekod Asia dari China, Su Bingtian iaitu 9.83s.
Catatan kedua terpantas Asia dipegang bekas pemegang rekod Asia dari Qatar, Femi Ogunode yang dinaturalisasi dari Nigeria dengan masa 9.91s.
Baki tujuh lagi pelari dengan masa bawah 10s ialah Ryota Yamagata (Jepun, 9.95s), Yupun Abeykoon (Sri Lanka, 9.96s), Abdul Hakim Sani Brown (Jepun, 9.97s), Xi Zhenye (China, 9.97s), Yoshihide Kiryu (Jepun, 9.98s), Yuki Koike (Jepun, 9.98s) dan Samuel Francis (Qatar, 9.99s).














