PONTIAN – Kegigihan dua beradik berniaga ayam goreng RM1 dan air balang di hadapan Masjid Jamek Kampung Rimba Terjun di sini membuahkan hasil apabila mampu meraih pendapatan RM5,000 sebulan.
Nor Azhar Gimon, 38, berkata, biarpun terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah terutama ayam, namun dia masih mampu bertahan untuk meneruskan perniagaan kecil-kecilan sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, gerai yang diusahakan bersama adiknya, Nor Fazli, 25, menjadi tumpuan pembeli dalam kalangan kakitangan kerajaan dan swasta mahupun orang ramai yang melalui Jalan Pontian – Kukup terutama pada waktu tengah hari.
“Saya dan adik kekal menjual ayam goreng pada harga RM1 sehingga hari ini walaupun harga ayam kini mencapai RM7.99 sekilogram (kg). Niat kami membantu keluarga berpendapatan rendah termasuk mereka yang mempunyai anak ramai menikmati ayam goreng.
“Saya pasti, dalam keadaan ekonomi tidak menentu ditambah kenaikan harga barangan, lauk ayam bukan lagi menu wajib kebanyakan orang,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, secara purata setiap hari, kira-kira 900 hingga 1,000 ketul ayam digoreng dengan aduan tepung sendiri dan ia habis dijual.
“Kerja-kerja memotong ayam seterusnya diperap dengan rempah ratus dilakukan di rumah di Kampung Dalam Ayer Baloi sebelum bergerak ke Kampung Rimba Terjun pada pukol 10 pagi.
“Setiap hari gerai kami dibuka dari pukul 11 pagi hingga 4 petang dan ditutup pada hari Jumaat,” ujarnya.
Selain itu, gerai tersebut turut menjual air coklat dan teh hijau pada harga RM3 dan RM5 sebungkus.
“Saya berhasrat untuk meluaskan perniagaan ini dengan membuka cawangan pada masa depan,” ujarnya.
















