MARANG – Seorang ibu yang masih berpantang hanya mampu memeluk ketiga-tiga anaknya termasuk seorang anak bongsu yang baru berusia 37 hari sewaktu rumah mereka dibadai ribut di Kampung Surau Haji Said, Seberang Marang, di sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, Siti Aishah Mohamed, 24, memangku bayi lelaki, Muhammad Zayyad Zafran Kamarul Bahrin dan dipeluk erat dua lagi anaknya, Nur Aleesya Ammara, 3, dan Muhamman Rayaan Rizqi, 5, sewaktu satu demi satu atap rumah mereka diterbangkan angin kuat.
“Saya yang ketakutan hanya mampu berdoa agar kami diselamatkan dalam keadaan ribut yang ‘menggila’ ketika kejadian.
“Alhamdulillah tidak lama kemudian, suami saya (Kamarul Bahrin Kamarulzaman, 28) datang menyelamatkan kami keluar dari rumah sebelum berlindung di dalam kereta sehingga ribut reda,” katanya ketika ditemui di Kampung Surau Haji Said, di sini semalam.
Menceritakan semula detik cemas itu, Siti Aishah berkata, sebelum kejadian, dia dan suami, Kamarul Bahrin sedang melayan tetamu di ruang tamu.
Katanya, hampir 10 orang menziarahi mereka berikutan selepas urusan pengebumian arwah abangnya, Ahmad Firdaus Mohamed.
“Sedang kami berbual, tiba-tiba ribut melanda menyebabkan rumah saya bergegar kuat.
“Semua tetamu menyelamatkan diri, saya dan anak-anak cuba mencari tempat berlindung tetapi ketika itu atap rumah mula tercabut dan berterbangan,” katanya.
Siti Aishah berkata, ribut hanya reda kira-kira 10 minit kemudian dan dia bersyukur keluarga dan tetamunya selamat.
Terdahulu, beliau diziarahi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Rhu Rendang berkata, sebanyak 96 rumah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakilinya terjejas akibat ribut itu.
“Kami telah memberi bantuan awal kepada mangsa untuk membaiki kerosakan rumah mereka yang dipukul ribut,” katanya.















