PUTRAJAYA – Kebanyakan guru yang memohon pertukaran lokasi bertugas adalah kerana ingin kembali mengajar di negeri asal selain mahu berdekatan dengan pasangan masing-masing.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, permohonan keluar antara negeri yang paling tinggi adalah dari Johor dan Selangor, manakala negeri yang paling ramai dimohon adalah di Kelantan dan Terengganu.
Katanya, pada kebiasaan, mereka yang baharu tamat kursus di Institut Pendidikan Guru atau institusi pengajian tinggi (IPT) akan ditempatkan di sekolah-sekolah sekitar Selangor dan Johor.
“Atas sebab itulah ramai guru yang berada di kedua-dua negeri itu memohon bertukar ke negeri asal selepas bertugas dalam satu tempoh tertentu.
“Dalam hal ini, saya berasakan kos sara hidup yang lebih tinggi di Selangor dan Johor bukanlah antara faktor ramai guru memohon bertukar keluar.
“Ia sebaliknya lebih kepada ingin balik ke negeri asal dan ada juga yang ingin dekat dengan pasangan mereka,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas statistik Kementerian Pendidikan (KPM) yang mendedahkan permohonan pertukaran keluar antara negeri yang paling tinggi adalah dari Johor dan Selangor.
Statistik sama mendedahkan negeri paling ramai dimohon adalah Kelantan dan Terengganu.
“Permohonan masuk ke Kelantan dan Terengganu sangat tinggi dipercayai kerana ramai guru berasal dari negeri Pantai Timur itu dan mereka ingin kembali bertugas di kampung halaman,” katanya.
Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya menerima alasan seperti sakit kronik, ancaman keselamatan dan mengikut pasangan dalam pertimbangan untuk pertukaran lokasi bertugas.
“Selain itu, alasan lain seperti tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah dan lain-lain alasan munasabah turut diberi pertimbangan dalam penentuan kelulusan pertukaran,” kata kenyataan yang dikeluarkan KPM kepada Kosmo! baru-baru ini.-K! ONLINE














