fbpx

Tambang percuma feri bot laju bagi pejalan kaki selama dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menawarkan perkhidmatan feri bot laju percuma bagi penumpang pejalan kaki selama dua minggu bermula 1 Januari hingga 14 Januari depan.

PPSB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tambang percuma itu ditawarkan hasil perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini.

“PPSB komited untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan feri yang boleh dipercayai untuk kegunaan orang ramai. Sebarang maklumat terkini akan dikongsi di laman web rasmi PPSB,” kata kenyataan itu.

Bermula 1 Januari depan, perkhidmatan feri bot laju akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menggantikan feri ikonik yang sudah beroperasi kira-kira 126 tahun di negeri ini.

Menurut Surhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang sebelum ini, perkhidmatan itu akan digunakan dalam tempoh interim sehingga Jun 2022 sebelum digantikan dengan katamaran atau teksi air.

Feri ikonik sedia ada pula hanya akan digunakan bagi penunggang basikal dan motosikal sehingga Julai 2022 manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Januari depan.

Bagaimanapun, tambang feri tidak berubah iaitu RM1.20 bagi pejalan kaki dewasa dan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun (60 sen) dari tanah besar ke bahagian pulau.

Manakala, tambang perkhidmatan feri untuk pengayuh basikal sebanyak RM1.40 dan RM2 (motosikal). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN