fbpx
hanya setelah tinggal di rumah mentuanya, baru Mawar tahu suaminya seorang penagih tegar. – GAMBAR HIASAN

Suami pilihan keluarga rupanya penagih tegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA wanita lain direzekikan mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, tetapi tidak bagi wanita yang ingin dikenali sebagai Mawar ini.

Dia terpaksa mendirikan rumah tangga bersama dengan lelaki pilihan hati keluarganya.

“Sebenarnya saya ada menjalin hubungan percintaan dengan seorang lelaki yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi.

“Tetapi dia tidak berpendidikan tinggi dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dan hubungan kami tidak mendapat restu keluarga saya,” kata Mawar yang berusia pertengahan 30-an.

Kedua-dua ibu bapanya meminta dia untuk menerima lamaran anak kepada rakan ibu saudaranya.

Pada mulanya dia enggan menerima lamaran itu, tetapi setelah didesak beberapa kali, Mawar akur dan terpaksa menerimanya.

Sebab utama keluarganya memilih lelaki tersebut kerana dia berasal daripada keluarga yang agak berada.

Mereka yakin bahawa Mawar akan hidup dengan kemewahan jika berkahwin dengan lelaki tersebut yang keluarganya kaya.

“Pada ketika itu, saya baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan sebolehnya ingin mencari kerja terlebih dahulu dan mengejar impian saya.

“Namun, disebabkan keluarga saya meminta saya berkahwin dengan lelaki itu, saya tiada pilihan bagi menjaga hati mereka,” ujarnya.

Dalam keadaan terpaksa, dia meneruskan perkahwinan tersebut meskipun hatinya tidak rela. Mereka berdua berbeza umur dan suaminya itu lima tahun lebih tua daripadanya.

Setelah berkahwin, Mawar perlu tinggal bersama keluarga mentuanya di sebuah negeri di Pantai Timur.
Ini kerana, suaminya itu bekerja dengan orang tuanya.

Mawar menjelaskan, setelah tinggal di sana peluang pekerjaan agak terhad dan dia tidak dapat memohon kerja bersesuaian bidang pengajiannya.

“Ibu mentua saya juga tidak membenarkan saya untuk bekerja dan minta saya untuk duduk di rumah dan mengurus rumah.

“Pada mulanya tiada masalah, lama- kelamaan saya menjadi bosan dan saya mahu keluar bekerja dan mencari wang sendiri untuk membeli apa yang saya suka,” jelasnya.

Sepanjang berkahwin, suaminya itu jarang untuk memberikannya wang untuk berbelanja.

Malah, dia menjadi semakin tertekan untuk tinggal di situ kerana ibu mentuanya mempunyai sikap suka mengarah. Dia juga mendapati keluarga suaminya terutama adik-beradiknya tidak harmoni dan mereka sering bergaduh di dalam rumah.

Mawar mengakui dia sering duduk di dalam bilik dan menyendiri.

Sementara itu, pada satu ketika, berlaku satu pergaduhan besar di rumah itu apabila wang dan barang kemas ibu mentuanya dicuri.

“Mereka menuduh suami saya curi untuk membeli ‘barang’, saya pada mulanya tidak mengerti istilah tersebut.

“Rupa-rupanya ‘barang’ yang disebut itu adalah dadah dan daripada situ baru saya mengetahui bahawa suami saya seorang penagih.

“Baru saya sedari rupa-rupanya suami saya boleh berjaga berhari-hari dan langsung tidak tidur malam disebabkan mengambil dadah,” jelasnya.

Malah, Mawar juga baru mengetahui suaminya itu sering mencuri wang ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain selama ini.

Sebelum ini mereka tidak membesarkan perkara tersebut kerana takut Mawar mengetahuinya.

Disebabkan insiden itu, suaminya dihalau keluar oleh ibu bapanya dan Mawar menjadi bingung apa yang harus dilakukan olehnya.

“Suami saya keluar dari rumah itu, tetapi ibu mentua saya menyatakan jika saya ingin terus tinggal di rumah itu dia benarkan. Jika saya mahu mengikuti suami juga dia benarkan, tetapi saya ambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tua saya.

“Saya kemudian menceritakan segala-galanya kepada ibu bapa saya, apa yang saya rasakan adalah untuk berpisah dengan suami saya,” katanya.

Keluarga Mawar memintanya berfikir panjang terlebih dahulu dan minta saya memberi peluang kepada suaminya.

Dalam masa sama, Mawar kembali menghubungi kekasih lamanya dan menceritakan nasib yang dialaminya.

Mawar mengakui bahawa dia masih menyayangi kekasih lamanya itu.

“Akhirnya saya memberi kata dua kepada ibu bapa saya jika suami atau keluarganya tidak datang untuk menjemput saya di rumah, dia akan minta dirinya untuk dilepaskan.

“Kali ini saya yang akan menentukan apa yang terbaik dalam kehidupan saya dan dalam tempoh itu suami saya atau keluarganya langsung tidak menghubungi saya.

“Saya kemudian menghantar pesanan ringkas kepada ibu mentua saya bahawa saya ingin minta diri ini dilepaskan dengan cara baik,” jelasnya.

Ibu mentuanya itu mengerti dan dia juga tidak mahu Mawar terus terseksa untuk hidup dengan anaknya itu yang merupakan penagih tegar.

Keluarga Mawar juga menghormati keputusan diambilnya itu dan akhirnya dia dan suaminya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah.

Setelah berpisah, Mawar berkahwin dengan bekas teman lelakinya yang pada mulanya tidak diterima oleh keluarganya. Keputusan yang dia lakukan tepat dan kini dia bahagia bersama suami barunya itu meskipun mereka hidup sederhana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN