KUALA TERENGGANU – Bekas johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran kebangsaan dan antarabangsa tahun 1999 dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu hari ini.
Masnah Awang, 73, menerima hadiah wang tunai RM20,000, plak dan sijil penghargaan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ibu tunggal kepada lapan anak itu telah banyak mengharumkan nama negeri dan negara dalam bidang tilawah al-Quran sejak tahun 1980-an.
Beliau berkata, anugerah tersebut akan menguatkan lagi iltizamnya untuk terus berkongsi ilmu taranum al-Quran terutama kepada generasi muda.
“Alhamdulillah, syukur sangat dengan anugerah tidak disangka ini kerana hasrat saya selama ini hanyalah untuk memastikan murid dan anak cucu mendapat ilmu al-Quran yang sempurna.
“Semoga pengiktirafan ini akan dijadikan inspirasi kepada anak cucu dan murid-murid saya terus melakukan yang terbaik dalam pekerjaan dan pelajaran mereka agar menjadi mukmin profesional dunia akhirat,” katanya di sini hari ini.
Masnah berkata, beliau masih bertugas sebagai guru al-Quran Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang mengajar di Masjid Kampung Rawai, Masjid Alor Limbat, Masjid Jerong Tuan dan Surau Kampung Pasir Tinggi.
Beliau yang mempunyai 32 cucu dan 10 cicit turut berkhidmat sebagai tenaga pengajar bagi kelas al-Quran di Pejabat Agama Daerah Marang selain mengajar taranum di Asrama Darul Falah, Marang. – KOSMO! ONLINE














