Pelik tapi itulah hakikat yang terjadi, seorang pemandu tanpa lesen boleh diambil bekerja oleh majikan untuk memandu bas persiaran sehingga terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan dua pelancong warga China di Kilometer 16.5, Jalan Genting Highlands pada 29 Jun lalu.
Lebih malang, pemandu yang digaji itu mempunyai 27 rekod kesalahan trafik yang membawa maksud pemandu itu telah sekian lama ‘berkhidmat’ dengan membawa penumpang dengan ‘aman’ tanpa sebarang masalah. Sungguh ‘ajaib’ dan ‘hebat’.
Barangkali, jika bas yang dipandu oleh pemandu terbabit tidak terbabas dan melangar tembok pembahagi jalan tempoh hari, mungkin dia akan terus ‘bersenang-lenang’ membawa penumpang tanpa sebarang rasa bersalah.
Persoalannya, bagaimana majikan syarikat bas persiaran terbabit boleh melantik seseorang pemandu yang tidak mempunyai lesen untuk memandu bas milik syarikatnya dan merisikokan nyawa puluhan penumpang yang dibawanya setiap hari?
Apakah negara kita sudah tidak cukup pemandu yang berkelayakan untuk diambil bekerja?
Apa pun alasan yang diberi, sikap majikan seperti ini tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana melantik pemandu tidak berlesen bukan sahaja meletakkan nyawa puluhan penumpang dalam bahaya, malah pengguna jalan raya lain turut berdepan risiko kemalangan gara-gara mereka.
Kejadian di Genting tempoh hari seharusnya membuka mata pihak berkuasa bahawa mereka tidak boleh leka dalam menguatkuasakan peraturan jalan raya.
Lebih banyak bas harus diperiksa baik bas pesiaran, bas ekspres, bas sekolah, bas kilang atau bas henti-henti supaya mereka benar-benar mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Pemeriksaan ini seharusnya dilakukan pada setiap masa dengan lebih kerap dan bukannya hanya tertumpu pada musim-musim perayaan semata-mata, kerana perkhidmatan bas ini membawa nyawa penumpang setiap hari dan bukannya pada hari perayaan sahaja.
Kalau diperiksa betu-betul, rasanya ramai lagi pemandu bas tanpa lesen yang sedang ‘berkhidmat’ membawa penumpang ketika ini. Bukan setakat tak ada lesen, pemandu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah pun rasanya masih ramai.
Tindakan tegas seharusnya tidak terhad kepada pemandu, malah kepada pemilik syarikat yang mengambil mudah tentang aspek keselamatan penumpang termasuklah mereka yang sesuka hati menggaji pemandu tanpa lesen atau membiarkan keadaan bas yang tidak selamat beroperasi untuk membawa penumpang.
Jika perlu, batalkan saja permit mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan yang serius.
Janganlah pula sampai penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas terpaksa meminta lesen daripada pemandu atau terpaksa melakukan pemeriksaan sendiri untuk melihat tayar bas sama ada masih elok atau tidak.
Ini bukan tugas penumpang, ini tugas pemilik syarikat bas dan pihak berkuasa. Paling penting , janganlah buat sampai nyawa manusia tidak berharga hanya semata-mata ingin mengejar keuntungan.














