Pengunjung terpesona melihat foto-foto yang dipamerkan pada pameran fotografi dalam laut itu.

Kesedaran pemuliharaan laut menerusi fotografi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAUT merupakan satu ekosistem yang menjadi rumah kepada pelbagai hidupan, selain lubuk sumber makanan serta tarikan pelancongan buat sesebuah negara.

Namun begitu, kerana penerokaan yang tidak terkawal, laut turut berdepan dengan kerosakan dan pencemaran yang menyebabkan hidupan serta ekosistemnya terancam.

Sempena sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 (yang disambut pada 8 Jun setiap tahun), Canon Marketing Malaysia (Canon) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan satu program istimewa: bengkel dan pameran Exploring Ocean Awareness Through Photography.

Menurut Ketua Cawangan Kota Kinabalu, Canon Marketing Malaysia, Calvin Liew, program tersebut merupakan inisiatif untuk memberi inspirasi serta memperkasa dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan lautan.

“Di Canon, kami yakin bahawa imej mempunyai kuasa untuk mencetuskan perubahan positif.

“Bengkel dan pameran foto ini menggariskan falsafah ‘Kyosei’ kami iaitu hidup dan bekerjasama demi kebaikan sejagat dengan harapan agar dapat menyemarakkan semangat pemuliharaan marin di samping menggalakkan usaha melindungi khazanah laut kita yang amat berharga,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan yang berlangsung di Galeri Azman Hashim, UMS.

Tambahnya, menerusi pameran fotografi pihaknya turut menampilkan hasil karya foto dasar laut oleh jurufoto dan EOS Master Canon, Ipah Uid Lynn.

Katanya lagi, selain menampilkan karyanya, Ipah juga telah berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalamannya dalam bengkel yang disertai oleh pelbagai kumpulan peserta daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan orang awam.

“Program ini juga bertujuan melengkapkan para peserta dengan kemahiran penting dan merakamkan keindahan dunia dasar laut.

“Ipah menerangkan secara mendalam teknik-teknik penting untuk fotografi akuatik yang menarik di samping memberikan penekanan mengenai amalan bertanggungjawab yang dapat mengurangkan impak manusia ke atas ekosistem yang sangat sensitif ini,” ujarnya.

Kongsinya lagi, menerusi inisiatif ini, Canon Malaysia berharap dapat memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap biodiversiti marin terutama di Malaysia, selain menggalakkan para peserta untuk menjadi penyokong pemuliharaan laut.

Pihaknya juga menyifatkan program tersebut sebagai satu langkah berjaya dalam inisiatif pemuliharaan laut.

Antara gambar memukau di dalam laut yang dipamerkan.

Melihat kepada penglibatan mendalam para peserta dan imej memukau yang dipamerkan pada pameran itu mengukuhkan lagi kuasa penceritaan visual dalam meningkatkan kesedaran berkaitan isu kritikal alam sekitar.

“Program ini selari dengan komitmen kami yang lebih luas terhadap kemampanan yang ditunjukkan menerusi inisiatif seperti kempen One Canon One Tree di seluruh negara dan kempen pokok angkat di Taman Tugu.

“Canon Malaysia kekal komited dalam misinya untuk memupuk masa depan yang lebih mampan menerusi penganjuran program dan inovasi teknologi berimpak tinggi,” terang Liew.

Berkongsi tentang pameran foto yang diadakan, Ipah memberitahu bahawa semua karya fotografi dasar laut telah dicetak menggunakan mesin pencetak daripada siri Canon imagePROGRAF Pro.

“Menerusi imej-imej ini saya berjaya mengabadikan keindahan dan keunikan dunia dasar laut kita yang serba kompleks.

“Pameran itu turut mengingatkan tentang betapa mustahaknya usaha pemuliharaan marin, di samping memberikan pemahaman yang mendalam mengenai peranan penting ekosistem laut dalam menentukan tahap kesihatan planet kita ini,” terangnya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansur dalam ucapannya turut menggalakkan orang ramai untuk melindungi dan memulihkan keindahan lautan demi memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN