fbpx
MENDIRIKAN rumah tangga dengan pelakon Uqasha Senrose pada 2021, aktor Kamal Adli kini bertatih memikul amanah dan tanggungjawab baharu sebagai seorang bapa.

Ada anak, Kamal rasai beza layanan Uqasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN cahaya mata sememangnya menjadi detik bermakna buat mana-mana pasangan suami isteri.

Momen indah sebegitu juga sedang dilalui pasangan pelakon popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose.

Kelahiran puteri sulung mereka, Hawra Uqaira menjadi pengikat cinta sekali gus membentangkan pengalaman baharu untuk Kamal dan Uqasha bergelar ibu bapa.

Untuk fasa permulaan ini, biarpun ada waktunya menguji kesabaran, namun Kamal sentiasa berusaha yang terbaik dan sabar menguruskan anak kecilnya.

“Alhamdulillah bayi sekarang sudah berusia dua bulan. Keadaannya sihat begitu juga dengan Uqasha yang selamat menjalani tempoh berpantang dan ‘pasang badan’ sebelum berlakon semula.

“Awalnya pengalaman itu sedikit mencabar apabila dia (anak) kerap meragam pada waktu malam. Saya dengan isteri kena bergilir-gilir, Uqasha sebelah siang, saya pula berjaga malam.

“Pada waktu siang boleh dikatakan dia kurang aktif dan tidur saja berbanding malam dia akan merengek dan sukar tidur.

“Saya memang seorang yang kerap berjaga malam, tetapi tetap juga ada had waktunya iaitu sehingga pukul 4 pagi. Tetapi kadangkala dia tetap tidak mahu tidur sehingga pernah mencecah pukul 7 pagi.

“Jadi sekarang ini saya cuba hendak tukar rutin harian dia agar lebih aktif pada waktu siang dan tidur di sebelah malam.

“Insya-Allah saya mengharapkan perkara itu berhasil,” katanya sambil berseloroh.

Di mata Kamal, Uqasha tidak pernah mengeluh menjaga anak meskipun berada dalam keadaan keletihan dan perlu berjaga malam.

Cinta Uqasha

Terus rancak bercerita perihal keluarga kecilnya, Kamal turut mengakui berasa bangga dengan perubahan isterinya selepas bergelar ibu.

Kata Kamal, Uqasha tidak pernah mengeluh meskipun terpaksa bangun sekitar pukul 2 atau 3 pagi.

Jika dibandingkan dengan diri sendiri, Kamal kadangkala mengeluh dengan kerenah anak yang sukar tidur malam sehingga si bapa (Kamal) juga ikut sukar melelapkan mata.

“Sejujurnya saya sangat bangga dengan kesabaran dan semangat Uqasha dalam menjaga anak. Kalau saya, memang sudah tidak sekuat itu.

“Walaupun saya sudah biasa berjaga malam, namun tetap ‘koyak’ jika berjaga sampai pukul 4 pagi menjaga anak kecil.

“Uqasha pula tidak mempunyai masalah untuk bangun tengah malam atau pukul 3 pagi untuk jaga anak.

“Jadi saya benar-benar kagum dan baru sedar pengorbanan ibu kepada anaknya.

“Kehadiran Hawra Uqaira mengubah Uqasha. Sebelum ini, saya sendiri tidak mendapat layanan sebegitu.

“Dahulu jika saya minta tolong ambil air tengah malam pun dia kata tidak larat,” katanya sambil tertawa kecil.

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu mahu menjadi seperti Uqasha yang tetap melayan kerenah anak walau kepenatan.

“Saya memang kagum dan puji perubahan Uqasha itu. Walaupun penat, tetapi dia tetap sabar. Saya ingin ambil dan pinjam semangatnya itu dalam menjaga anak kami,” ujarnya tenang.

SETELAH berehat sekitar tiga bulan, Kamal sudah bersedia untuk kembali ke set penggambaran dalam tempoh masa terdekat. – SYAKIR RADIN

Wajah anak

Sehingga kini juga, Kamal dan Uqasha tidak merancang untuk mengambil pembantu untuk menguruskan anak mereka.

Mereka sepakat menjaga sendiri Hawra dan jika ada keperluan, barulah bantuan daripada ahli keluarga akan diminta.

“Kami memang tidak mengambil pembantu untuk menjaga dia. Kalau ada pun, ibu mentua banyak membantu dan sebolehnya kami sendiri akan jaga,” katanya.

Selain berjaga malam, lelaki berusia 38 tahun itu sudah handal menukar lampin dan membancuh susu.

“Selepas ada anak baru saya sedar tanggungjawab bapa. Saya perlu menukar lampin dan mencuci najis.

“Terus terang saya sangat cekap buat semua kecuali memandikan bayi. Pada saya tubuhnya masih terlalu kecil dan lemah. Jadi Uqasha sajalah mandikan anak.

“Bagi saya sedikit masa sehingga dia sudah besar sedikit,” katanya.

Berhubung keterbukaan berkongsi wajah puterinya, peminat akan berpeluang menyaksikan Hawra dalam program Oh Baby Kamal dan Uqasha siaran Astro.

“Kami bukan mahu menyembunyikan wajah anak, tetapi perkara itu akan dibuat dalam rancangan Oh Baby.

“Program itu akan menunjukkan bagaimana kami melalui hari-hari sebagai ibu bapa dan menyediakan keperluan Hawra,” katanya.

Melanjutkan cerita, Kamal akan kembali aktif dalam masa terdekat setelah tiga bulan berehat demi sepenuh perhatian terhadap keluarga.

KAMAL dan Uqasha hanya mendedahkan wajah anak mereka dalam program Oh Baby siaran Astro.

Tanggungjawab

“Sewaktu Uqasha hamil, jadual kerja saya sangat padat, sibuk dengan penggambaran.

“Jadi saya mengambil cuti panjang dan fokus jaga anak kerana takut dia tidak mengenali saya,” jelasnya.

Bersedia untuk ke set penggambaran tidak lama lagi, Kamal juga tidak akan meletakkan had waktu bekerja kerana sedar tanggungjawabnya semakin bertambah.

“Saya tidak akan menghadkan masa kerana saya tahu tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Saya bekerja juga untuk isteri dan anak,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Kamal kini muncul dengan naskhah original Viu bertajuk Nafsu.

Boleh disifatkan sebagai naskhah luar biasa, Kamal mengakui drama tersebut memberi cabaran dalam menghidupkan watak bomoh Jawa palsu yang menipu mangsa.

“Sebelum ini saya memang pernah terlibat dalam naskhah sebegitu tetapi kali ini berbeza kerana saya perlu menghafal ayat Ruqyah.

“Agak luar biasa juga. Dalam drama ini saya perlu berikan reaksi yang lebih dramatik terutama ketika adegan melihat hantu yang tentu sahaja perkara itu melibatkan kesan visual (VFX),” katanya.

KAMAL kini muncul menerusi naskhah seram suspen berjudul Nafsu melibatkan amalan mistik arahan Sein AlQudsi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN