KHAIRIL AZWA (kiri) dan Muhammad Aiman antara pengulas sukan era kini yang berbakat dan mempunyai gaya ulasan yang mengesankan serta menarik hati penonton. – Foto SADDAM YUSOFF

Pengulas sukan generasi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“DI mana anda ketika anda berusia 20 tahun?”

Itulah kata-kata tular yang keluar dari mulut Wan Khairil Azwa Wan Jusoh, 33, saat dia menjadi pengulas sukan bagi perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu pada 2022.

Ayat itu dia tujukan kepada pemain JDT iaitu Arif Aiman yang ketika itu menggegar Stadium Nasional Bukit Jalil kerana berjaya menjaringkan gol.

“Ayat ini sebenarnya spontan keluar dari mulut saya di mana saya cuma mahu menggambarkan pada usia baru 20 tahun, Arif Aiman sudah pada tahap itu sedangkan saya ketika umurnya masih struggle dalam kehidupan.

”Malah, ayat ini cukup membekas sehingga ramai bertanya kepada saya mengapa saya berkata demikian dan ramai juga ‘membantai’ kerana saya seperti mempertikai rezeki orang lain,” katanya kepada K2.

Apapun, itulah antara momen-momen yang dihadapi oleh Khairil Azwa apabila menjadi pengulas sukan.

Dia juga kini merupakan antara pengulas sukan profesional generasi baharu di Malaysia yang berpeluang untuk berkhidmat dengan stesen televisyen sukan, Astro Arena.

Mengulas lanjut penglibatan dalam dunia ulasan sukan, Khairil Azwa sendiri tidak menyangka pengulas sukan akan menjadi satu kerjayanya.

Namun begitu, akuinya memang sukan merupakan minatnya dan dia sendiri mempunyai impian menjadi seorang pemain bola profesional.

KHAIRIL AZWA memberi sepenuh tumpuan semasa mengulas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 antara Malaysia dan Thailand baru-baru ini.

“Impian saya untuk menjadi pemain bola sepak profesional terlaksana setelah saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dalam jurusan pengurusan sukan.

“Saya aktif bermain bola sepak sehingga diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak UiTM yang bersaing dalam Liga Perdana untuk musim 2016 dan 2017,” jelas anak jati Terengganu itu.

Namun begitu, selepas itu dia terpaksa ‘menggantung kasut bola’ setelah berdepan kecederaan.

Selepas berhenti bermain bola, Khairil Azwa mengakui dia mengalami kesukaran untuk mencari pekerjaan meskipun memiliki ijazah.

Permulaannya dalam dunia ulasan sukan bermula pada 2017, setelah salah seorang rakannya menjemput untuk dia menjadi pengulas sukan amatur bagi satu Liga Sosial di Shah Alam.

“Pada ketika itu, era live streaming di media sosial seperti YouTube, Facebook baru sahaja bermula, jadi mereka memerlukan pengulas amatur.

”Saya dijemput menjadi pengulas kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang bola sepak,” ujarnya.

Selepas itu, dia dijemput lagi dan kali ini Khairil Azwa mendapat sedikit bayaran. Ketika itu dia mula sedar bahawa dengan ulasan sukan dia boleh mendapat sedikit wang.

Kemudian Persatuan Bola Sepak Selangor ada menganjurkan Selangor Champion League (SCL) dan pengulas amatur diperlukan, lantas Khairil Azwa tidak melepaskan peluang itu.

”Ada sedikit tapisan untuk menjadi pengulas dan saya ada ulas satu, dua perlawanan, lalu diterima untuk menjadi pengulas sukan untuk liga ini.

”Saya masih ingat ada satu hari saya ulas empat perlawanan dari petang hingga malam sebab ketika itu memang perlukan sedikit wang,” katanya sambil ketawa mengenang kenangan itu.

Tambahnya, pada 2019, dia mendapat peluang daripada Liga Amatur Malaysia (AFL) untuk menjadi pengulas sukan rasmi bagi saingan Liga M3.

Gaya semasa memberikan ulasan.

Sejak itu, rezekinya dalam dunia ulasan sukan semakin baik dan pada 2022 dia mendapat panggilan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menjadi pengulas sukan bagi siaran langsung perlawanan.

Walaupun dia pengulas sukan baharu tetapi Khairil Azwa diberi kepercayaan pada tahun itu untuk membuat ulasan perlawanan besar iaitu final Piala FA.

“Pada hujung 2023, Astro Arena menjadi penyiar rasmi untuk Liga Malaysia dan mereka menawarkan saya menjadi pengulas sukan tetap mereka.

“Saya mengambil peluang ini kerana ulasan sukan telah menjadi minat saya dan saya mahu terus kembangkan bakat ini untuk menjadi pengulas sukan profesional,” katanya.

Kini, setelah berkhidmat di Astro Arena, dia bukan hanya mengulas tentang sukan bola sepak.

Bahkan, dialah pengulas bagi saluran televisyen itu semasa Malaysia mencatat sejarah bergelar Juara Dunia Sepak Takraw acara regu baru-baru ini.

Selain Khairil Azwa, seorang lagi pengulas sukan baharu yang semakin mendapat tempat di hati ramai ialah Muhammad Aiman Roshizam, 29.

Cerita Aiman yang berasal dari Pulau Pinang, ketika umurnya 10 tahun, dia suka mengajuk cakap pengulas sukan dan dari situ telah timbul minat menjadi pengulas sukan, namun dirinya tidak pernah terfikir untuk menjadikannya sebagai satu kerjaya.

Bagaimanapun, titik perubahan yang menyebabkan dia terlibat dalam bidang ulasan sukan bermula pada 2015 setelah Aiman mula terlibat dalam sukan elektronik atau e-Sukan iaitu permainan Fifa Online 3.

Kala itu, dia dapati tiada langsung pengulas sukan untuk permainan itu.

“Saya komen di YouTube Live untuk kejohanan ini dan menyatakan adakah mereka mahu pengulas untuk bahasa Melayu?

“Mereka memberi maklum balas dan meminta saya menyertai satu percubaan dan selepas percubaan saya terpilih untuk menjadi pengulas untuk Fifa Online 3 di Malaysia,” terangnya.

MUHAMMAD AIMAN mempunyai pesona tersendiri dalam penyampaian.

Selepas itu, dia sering menjadi pengulas untuk e-Sukan dan pada 2018 Aiman telah dilamar menjadi pengulas sukan bagi Selangor Champion League.

Dalam masa sama, dia juga bekerja dengan satu produksi dan menjadi pengulas bagi liga-liga amatur dan lain-lain lagi.

Pada 2021, Aiman telah disunting oleh Astro Arena untuk menjadi pengulas sukan mereka.

“Sebelum itu, saya sebenarnya pernah terfikir untuk bersara daripada dunia ulasan sukan amatur dan cari kerja lain kerana memikirkan tentang masa depan memandangkan saya juga telah berkahwin.

“Namun, lamaran Astro Arena membuatkan saya tidak meneruskan hasrat tersebut dan teruskan menjadikan pengulas sukan sebagai satu kerjaya sehingga sekarang,” jelasnya.

Sepanjang menjadi pengulas sukan, Aiman berkongsi, momen yang menjadi kenangan manis adalah apabila dia ditugaskan untuk menjadi pengulas sukan untuk perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan dalam perlawanan itu telah membolehkan Malaysia layak ke Piala Asia setelah 42 tahun.

“Selain itu, antara kenangan manis lain adalah apabila saya dipilih jadi pengulas bagi perlawanan akhir Piala Dunia di antara Perancis dan Argentina pada 2022,” katanya.

Menyentuh perbezaan pengulas sukan era dahulu dan generasi kini, Aiman berkata, pengulasan sekarang lebih bebas sedikit berbanding dahulu.

“Maksud saya, kalau dahulu agak sedikit baku untuk penggunaan bahasa dan sebagainya berbanding sekarang sudah ada beberapa gaya tetapi masih terikat dan mengikuti disiplin penyiaran.

“Malah, kini kaedah penyiaran juga lebih moden dan banyak teknologi yang membantu dari segi penyiaran dan pengulas zaman sekarang harus sesuaikan diri dengan semua itu,” jelasnya.

Tambahnya, pengulas sekarang mudah untuk melakukan kajian bagi mendapatkan maklumat dan sebagainya kerana akses itu lebih senang kini.

“Pengulas perlu pastikan maklumat atau fakta yang ingin disampaikan itu tepat dan jangan sesekali cuba untuk ‘kelentong’ peminat yang menonton.

“Ini kerana, penonton juga mempunyai akses yang mudah untuk mendapat maklumat,” katanya

Aiman menjelaskan, dia juga dalam ulasannya menjadikan pengulas dahulu sebagai rujukan.

Terangnya, pengulas lama seperti Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dan lain-lain sudah memberikan ‘bench mark’ kepadanya.

“Apa yang mereka telah bagi kepada saya ialah lenggok dan gaya yang kita boleh jadikan rujukan dan kemudian digayakan dengan acuan kita sendiri.

”Saya bukan ikut 100 peratus kerana itu identiti dia, saya ada identiti saya sendiri dan apa yang saya buat adalah ubah suai apa yang perlu ikut identiti saya,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN