fbpx
Pelarian dari Yemen mempersembahkan tarian Al-Bara'a pada Festival Pelarian yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Festival itu disertai semua komuniti pelarian di Malaysia antaranya dari Palestin, Yemen, Somalia, Rohingya, Afghanistan, Sudan dan lain-lain.- Foto AFIQ RAZALI

Refugee Fest, kenali komuniti pelarian dari perspektif berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUZIK tradisional Yemen dimainkan sebaik sahaja sekumpulan lelaki berbaju putih dan berserban melangkah masuk ke atas pentas.

Mereka melakukan tarian dalam bulatan dengan menghentakkan kaki ke depan dan belakang sambil membuat sorakkan.

Sebagai simbolik, penari memegang senjata yang melambangkan ketangkasan dan kehebatan pertahanan diri mereka.

Tarian penuh bertenaga dikenali sebagai Al-Bara’a itu merupakan seni gempur traditional masyarakat Yemen.

Ia dipersembahkan oleh komuniti pelarian dari negara tersebut sebagai salah satu acara pada The Refugee Fest: Inclusion For A Better World.

Festival yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan di Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain persembahan seni di atas pentas, festival itu turut menawarkan bazar seni, pameran, jualan makanan daripada pelbagai komuniti pelarian di Malaysia.

Ia juga berfungsi sebagai medium advokasi dengan mengadakan forum yang turut membincangkan isu-isu berkaitan pelarian.

Salah seorang penari Al-Bara’a, Mohammed Al-Roain meluahkan rasa kesyukuran apabila dapat memperkenalkan tarian komunitinya kepada masyarakat umum.

Katanya, tidak ramai yang mengetahui tentang komuniti pelarian Yemen di Malaysia kerana mereka jarang menonjolkan diri meminta bantuan.

“Dalam budaya kami, semua orang perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencari rezeki biarpun berstatus pelarian di negara asing.

“Oleh itu, kalian mungkin nampak kami dalam kalangan masyarakat, tetapi tidak tahu kami juga merupakan golongan pelarian perang,” katanya kepada K2.

Sukarelawan terdiri daripada pelbagai komuniti pelarian berbeza.

Terpaksa meninggalkan tanah air akibat perang saudara, lelaki berusia 35 tahun itu telah menjadi sebahagian populasi di Malaysia sejak 2015.

Namun, sejak dua tahun lalu, dia terpaksa berpisah dengan tiga anak kesayangannya yang berpindah ke Amerika Syarikat bersama bekas isterinya.

Biarpun hatinya berat, namun peluang pendidikan anak-anaknya lebih cerah di negara Uncle Sam itu berbanding di negara ini.

Ujarnya, perkara yang paling dikhuartirinya adalah berkenaan dengan pegangan Islam anaknya apabila membesar di negara Barat itu nanti.

“Kini, anak saya memiliki akses kepada pendidikan, namun sebagai bapa, saya sangat risau tentang iman dan akidah mereka.

“Ini antara cabaran kami. Oleh itu, saya berharap acara sebegini membuatkan lebih ramai orang cuba memahami dilema yang kami hadapi sebagai pelarian,” ujarnya.

Sehingga akhir Mei tahun ini, terdapat kira-kira 189,340 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di Malaysia.

Sebanyak 166,290 daripada jumlah tersebut berasal dari Myanmar iaitu Rohingya dengan 109,230, Chins (26,350) dan kumpulan etnik lain (30,710).

Selebihnya adalah warga Pakistan berjumlah 6,210, Yemen (3,310), Somalia (2,860) Syria (2,850), Afghanistan (2,830), Iraq (1,240) dan lain-lain (650).

Kira-kira 65 peratus (%) pelarian dan pencari suaka adalah lelaki, manakala selebihnya adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, terdapat kira-kira 52,810 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

ABDALHALIM menjual aneka juadah tradisional dari negara kelahirannya, Palestin.

Sementara itu, Abdalhalim M.A. Abunamous bangun seawal pukul 6 pagi untuk menyediakan aneka juadah warisan Palestin.

Antaranya adalah nasi qidra, maqluba ayam, macaroni spaghetti gaya Palestin, salad samosa dan mandy kambing. Lelaki berusia 41 tahun itu merupakan salah seorang penjual makanan di festival tersebut.

Menurutnya, jualan juadah dari Gaza itu dilakukan sebagai salah satu usaha untuk terus mengekalkan tradisi turun-temurun keluarganya.

“Festival selama tiga hari ini dihadiri warga tempatan, pelancong dan pelbagai komuniti pelarian lain.

“Jadi, ia platform terbaik untuk saya tonjolkan makanan kami kepada umum agar warisan ini tidak luput begitu sahaja,” katanya.

Biarpun berada di Malaysia sejak 2014, namun Abdalhalim masih ingat resipi sajian Palestin yang diajar oleh ibu dan neneknya sewaktu di Gaza.

Bapa kepada enam orang anak itu melakukan perkhidmatan katering makanan Palestin bernama Al Takih Kitchen bersama isterinya.

Mereka pernah menjamu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga di Seri Perdana, Putrajaya pada Ramadan lalu.

Jelas bekas pelajar Universiti Al-Aqsa dalam bidang seni halus itu, Malaysia memberinya peluang kedua untuk terus memperjuangkan warisan Palestin.

“Sebahagian besar keluarga saya berada di Gaza dan kami sudah terputus hubungan memandangkan keadaan di sana agak getir.

“Oleh itu, apa yang saya lakukan di sini sangat penting terutamanya bagi memastikan warisan kami sentiasa kekal,” jelasnya.

Festival yang diadakan buat kali kelapan itu dikendalikan oleh dua pelarian Somalia iaitu Mohamed Abdi dan Abeera Abdullah.

Kedua-dua mereka telah merekrut sukarelawan daripada pelbagai latar belakang bagi membantu menjayakan program tersebut.

Bahkan, ada antara sukarelawan yang merupakan mahasiswa dan memiliki kerjaya tidak formal di sini.

Mohamed Abdi berkata, festival ini mengajak orang awam untuk melihat golongan pelarian dari perspektif berbeza.

“Selalunya orang hanya melihat kami menerusi laporan media, tetapi festival ini membolehkan mereka mengenali kami dengan lebih dekat.

“Kami lebih daripada sekadar kisah tragik yang membebankan.

“Kami juga memiliki bakat, kepakaran dan budaya yang boleh dikongsikan bersama masyarakat di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN