MERCEDES Benz Malaysia (MBM) telah memperkenalkan versi diperbaharui bagi model A-Class sedan meliputi dua varian A200 Progressive Line dan A250 4MATIC AMG Line.
Mengekalkan konsep dinamik dan berjiwa muda, kenderaan sedan kompak itu dilengkapi ciri teknologi terkini Mercedes-Benz User Experience (MBUX) NTG7 generasi baharu yang canggih membolehkan ‘kenderaan dan pemandu’ kekal berhubung.
Rekaan luaran sedan eksklusif itu menerima peningkatan pada bahagian bonet yang condong ke hadapan dan lorong udara dengan elemen ‘hidung jerung’ yang menampilkan gaya sporty.
Jika dilihat pada struktur badan, AMG Line merupakan sebuah sedan dengan rupa yang lebih moden dan dinamik bersama gril radiator klasik serta logo Mercedes iaitu bintang tiga penjuru berwarna krom.
Reka bentuk luaran model ini juga diberikan pakej penggayaan AMG Line seperti pemasangan rim aloi lima jejari bersaiz 18 inci dalam kemasan tremolite grey.
Bahagian hadapannya diserlahkan dengan lampu LED berprestasi tinggi yang meningkatkan tahap keselamatan pada waktu malam serta kamera undur.

Menjengah ke ruang kabin, A250 4Matic menerima perubahan ketara menerusi konsep moden premium.
Paling jelas ialah skrin sentuh bersaiz besar dan beresolusi tinggi yang hadir sebagai ciri standard serta menjadi sebahagian daripada MBUX.
Lebih menarik, skrin digital tersebut boleh diubah dengan beberapa mod berbeza mengikut kesesuaian pemandu seperti classic, sporty atau discreet.
Di bahagian dalam, Mercedes A250 4MATIC mempunyai skrin infotainment MBUX bersaiz 10.25 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan juga Android Auto serta hadir dengan sistem pengecasan yang lengkap.
Walaupun dalam varian asas A-Class, Mercedes Benz A250 4MATIC menawarkan keselesaan yang mana tempat duduk pemandu dan penumpang menggunakan upholsteri gentian kulit buatan tangan Artico atau Mikrocut warna hitam dengan jahitan kontras merah.
Model A-Class itu didatangkan standard dengan ciri kunci pintar Keyless-Go yang pastinya memudahkan urusan pemanduan harian.
Pada masa sama, varian A-Class tersebut dilengkapi ciri keselamatan dan sistem bantuan pemanduan baharu.
Antaranya ialah Bantuan Parkir Aktif bagi memudahkan pemandu memarkir kereta secara selari, Bantuan Titik Buta dan Bantuan Brek Aktif.

Aspek keselamatan sedan diberikan ciri tambahan Sistem Brek Sports yang membantu mengekalkan prestasi membrek walaupun ia digunakan secara agresif dalam masa yang lama.
Pemandu kereta eksklusif ini boleh membrek dengan yakin sebelum selekoh dan mengambil selekoh dengan tenang.
Selain itu, A250 4MATIC dilengkapi dengan sistem AEB (Autonomous Emergency Braking) yang mana apabila sistem ini mengesan bahaya seperti kereta berhenti atau pejalan kaki melintas secara tiba-tiba, ia akan memberi
isyarat kepada sistem brek untuk memberhentikan atau memperlahankan kereta secara automatik.
Dari segi kuasa, A250 4MATIC ini menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder dan digabungkan dengan transmisi kotak gear klac berkembar automatik lapan kelajuan.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 224hp dan tork tertinggi 350Nm dan kini jentera itu mempunyai sistem hibrid ringkas 48 volt bateri elektrik dengan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) untuk permulaan sebanyak 10kW.
Kadar pecutan model ini dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 6.4 saat. Kelajuan maksimumnya mampu mencecah 250km/j.
Kesimpulannya pada pandangan penulis, Mercedes Benz A-Class versi telah dipertingkat menandakan episod baharu dalam perjalanan revolusi ke era digital.
A250 4Matic sememangnya mampu memikat hati pembeli kerana rekaan dan harga yang ditawarkan menarik dan meyakinkan seiring dengan jenama berprestij dibawa Mercedes Benz.
Dari segi pemanduan, kuasa yang ditawarkan itu sudah cukup untuk menggerakkan model kompak ini terutama mereka yang sukakan kepada eksklusiviti dan suntikan elemen sporty.














