fbpx
SAMANIEGO mendapatkan ‘nasihat’ daripada nenek moyangnya sebelum berhijrah ke kawasan baharu.

Perubahan iklim desak Orang Asli Amazon ‘tinggalkan’ hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI atas puncak gunung, Tsitsiri Samaniego merenung jauh arah tanah nenek moyangnya yang terbentang luas menjangkau ke sebelah ufuk.

Kehijauan hutan hujan tropika Amazon dan pergunungan Andes di Amerika Selatan itu tampak indah dengan berlatarbelakangkan langit biru yang mendamaikan.

Namun, ketika lelaki berusia 40 tahun tersebut mengamati keadaan alam di hadapannya, ternyata landskap berkenaan tidak seindah disangkakan.

Keluasan tanah ladang milik korporat dilihat semakin mendominasi ruangan hutan semula jadi yang sebelum ini dipenuhi oleh pelbagai flora dan fauna.

Hasil sisa ladang dan bandar yang dibuang ke perairan menjadikan Sungai Perene tercemar.

Skala kemerosotan alam sekitar itu mendorong Samaniego ke tempat tinggi tersebut untuk mendapatkan ‘nasihat’ daripada nenek moyangnya.

Samaniego merupakan ketua San Miguel Centro Marankiari iaitu sebuah perkampungan Orang Asli Ashaninka yang terletak di kawasan pergunungan di Peru.

Ashaninka merupakan salah satu kumpulan Orang Asli terbesar di Amazon Peru dengan jumlah populasi melebihi 50,000.

Pendudukan puak itu bermula dari kawasan hutan tanah tinggi Amazon tengah sehingga ke hutan dataran di sepanjang sempadan Peru dengan Brazil.

Walaupun berjauhan, namun ramai Ashaninka mengekalkan hubungan bersama saudara-mara jauh mereka dengan berkongsi bahasa serta budaya yang sama.

Memulakan ritual memohon nasihat, Samaniego meletakkan daun koko sebagai persembahan di atas kubur tidak bertanda mendiang datuknya, Miguel Samaniego.

Kemudian, dia menyalakan paip dan meniup kepulan asap tembakau.

“Di sini merupakan tempat nenek moyang kami disemadikan. Dahulu, mereka berjuang untuk mempertahankan kawasan kami.

“Setiap kali datang ke sini, saya akan mendapat kekuatan dan keberanian untuk meneruskan perjuangan kami,” ujarnya.

Ancaman pembangunan dan perubahan iklim yang semakin parah memaksa Samaniego berhadapan dengan satu realiti pahit.

Kini, tanah kebanggaan nenek moyang mereka tidak lagi boleh diwariskan kepada keturunan pada masa akan datang.

Setelah yakin sudah mendapat petunjuk, Samaniego pulang ke kampungnya dan terus membentangkan peta lapuk Amazon Timur.

Lelaki itu merasakan penghijrahan adalah pilihan terbaik buat komuniti tersebut.

Ini kerana, kampungnya telah diapit oleh peneroka dari kawasan pergunungan Andes yang mahu mengaut keuntungan daripada hasil alam.

Demi menanam pokok sitrus, avocado dan kopi, para petani tersebut memusnahkan sebahagian besar hutan hujan tropika itu.

Perkara tersebut telah mengubah kitaran hujan tempatan, membawa haba melampau dan kemarau ke kampung San Miguel Centro Marankiari.

Hasilnya, tanaman ubi kayu dan pisang oleh komuniti Orang Asli itu terjejas, manakala makanan serta air bersih juga menjadi terhad.

Menurut Pemantauan Projek Amazon Andean, pada tahun 2022 sahaja, Amazon Peru telah kehilangan 144,628 hektar hutan tua disebabkan oleh pertanian berskala kecil di kawasan itu.

Untuk mencari penempatan semula, Samaniego telah mendapatkan bantuan saudara-maranya dan mengenal pasti kawasan sesuai di wilayah Ucayali.

Samaniego menempuh perjalanan selama berhari-hari dan ratusan kilometer dengan mengikut lembah sungai.

Pencemaran air membuatkan bekalan air bersih semakin terhad di Amazon Peru.

Di kawasan sepanjang Sungai Sheshea, dia mengenal pasti beberapa ribu hektar tanah terbiar berhampiran komuniti Ashaninka lain.

Dia kini sedang mengatur perpindahan 150 penduduk kampungnya yang akan dilakukan secara berperingkat.

Sementara itu, Samaniego juga sedang membuat permohonan untuk menuntut pemilikan tanah baharu secara sah.

Di tempat baharu, dia bakal menghadapi masalah ancaman perdagangan kokain, pembalak dan pelombong haram.

Selain itu, mereka terpaksa menghadapi cabaran birokrasi yang sering mendiskriminasi permohonan tanah Orang Asli.

Namun, Samaniego tidak gentar dengan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi.

“Perpindahan ini merupakan usaha untuk kami mengekalkan budaya dan cara hidup. Ini juga cara kami mengekalkan ‘kampung’.

“Tanah nenek moyang kami telah dinodai.

“Kami perlu meletakkan asas perkampungan baharu untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut Bank Dunia, hampir separuh daripada semua Orang Asal di Amerika Latin telah berhijrah ke kawasan bandar.

Fenomena itu berlaku akibat kemerosotan kawasan tanah, perampasan wilayah, perubahan iklim dan konflik.

Biarpun Orang Asli hanya mewakili enam peratus daripada populasi global, namun data menunjukkan golongan itu telah membantu mengurus 80 peratus biodiversiti Bumi.

Atas sebab sama, pakar memberi amaran bahawa ketiadaan Orang Asli di kawasan hutan mampu mengganggu keselamatan makanan.

Pakar Migrasi Iklim untuk sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pablo Escribano berkata, penghijrahan itu kini berlaku dengan agak pesat.

“Walaupun Orang Asli memiliki kapasiti yang cukup kuat untuk menghadapi cabaran alam, namun perubahan iklim sudah sampai ke tahap kritikal.

“Data menunjukkan bahawa semakin ramai penduduk Orang Asli di Amerika Latin terlibat dalam penghijrahan sementara dan tetap ke bandar,” ujarnya.

Perubahan iklim desak Orang Asli Amazon ‘tinggalkan’ hutan Pada masa sama, pakar memberi amaran bahawa Orang Asli amat terdedah kepada kesan perubahan iklim seperti kenaikan paras laut dan penebangan hutan.

“Kehidupan Orang Asli bergantung pada pembolehubah iklim kerana ia boleh menjejaskan keselamatan makanan mereka,” ujar Escribano sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN