MINATNYA terhadap hobi memancing mula berputik sejak lima tahun lalu selepas mengikuti rakan-rakan melakukan aktiviti itu di sebuah kolam air tawar di Hulu Langat, Selangor.
Pengalaman tersebut juga telah mempertemukan pemuda itu dengan seorang rakan yang telah mengajarnya kemahiran memancing di air tawar.
Menurut Amirul Kalit, 30, meskipun memancing kini menjadi hobi baharunya, dia sebenarnya sudah terdedah dengan aktiviti tersebut sejak kecil oleh bapanya yang sering memancing di pantai.
“Dahulu saya selalu ikut ayah memancing di pantai, tetapi pada ketika itu minat belum ada lagi, malah saya sendiri tidak pernah tahu ada kolam untuk ikan air tawar sebelum mengikut kawan ke sana.
“Selepas mencubanya, saya berasa seronok terutama ketika berjaya menangkap ikan dan belajar teknik memancing bersama seorang rakan yang dikenali di kolam ikan itu,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya, sepanjang memancing di kolam ikan air tawar, dia banyak belajar bukan saja tentang teknik memancing, tetapi juga cara menghasilkan umpan sendiri yang ‘mujarab’ untuk memikat ikan secara umumnya.
Kian mahir dalam menggunakan mata bom dan gentil, Amirul memberitahu dalam memancing ikan di kolam air tawar, umpan adalah elemen penting dan dia juga membuatnya sendiri dengan menggunakan resipi dedak olahannya.
Katanya, penggunaan umpan perlulah sesuai ketika memancing di kolam air tawar dan biasanya dia akan menggunakan resipi yang sama dan hanya mengubah campuran sekiranya perlu.
“Biasanya dalam membuat umpan, saya gunakan dedak ayam, dedak 929, perisa strawberi dan beberapa bahan tambahan lain yang dicampur mengikut sukatan yang seimbang.
“Pentingnya umpan ini kerana jika dihasilkan dengan betul, ia akan menghasilkan aroma yang dapat memikat ikan berkumpul di lokasi pancing dan meningkatkan lagi potensi untuk menangkap ikan,” ujar graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Automotif dari Politeknik
Sultan Ahmad Shah, (POLISAS), Kuantan, Pahang itu.
Kongsinya, selain memerlukan umpan ‘mujarab’, pemancing juga perlu peka dengan waktu pelepasan ikan di kolam yang dikunjungi mereka.
Biasanya waktu yang ideal untuk memancing ikan di kolam adalah selepas tiga hari pelepasan di kolam. Hal ini disebabkan, sekiranya terlalu awal, ikan tidak aktif kerana belum menyesuaikan diri di kolam itu.
Selain itu, pemancing juga perlu datang awal ke kolam supaya dapat memilih lokasi yang baik dan bagi Amirul, dia sering memilih tempat di bahagian tepi hujung kolam dengan anggaran kedalaman sederhana yang menjadi lubuk ikan berkumpul.
Berkongsi mengapa dia lebih minat memancing di kolam air tawar, Amirul memberitahu, ia memberi kepuasan terutama apabila umpan yang diolahnya dapat menarik ikan ke darat.
“Mengolah umpan juga memberi saya peluang untuk bersaing dengan otai-otai di kolam pancing yang masing-masing miliki formula umpan tersendiri.
“Memancing di kolam juga sentiasa berikan saya hasil dan saya juga gemar memburu ikan patin, tilapia, tongsan dan juga rohu yang sentiasa memberi cabaran untuk ditawan,” jelasnya.
Katanya lagi, antara kenangan manis juga, dia pernah menangkap ikan dengan jumlah berat 35 kilogram di Kolam Pancing Santai Sungai Tekali, Hulu Langat, selain berjaya menangkap ikan unik iaitu peacock bass atau biasa dipanggil Pbass.















