SEBAHAGIAN lembu tempatan yang menunggu tempahan untuk ibadah korban di Kuala Nerus semalam.

Permintaan korban di Terengganu merosot 60 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Bilangan haiwan untuk ibadah korban di Terengganu untuk Aidiladha yang disambut minggu depan dijangka merosot sehingga 60 peratus.

Setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hanya menerima 873 permit sembelihan untuk ibadah korban berbanding 2,235 yang dikeluarkan tahun lalu.

Pengarah JPV Terengganu, Dr. Anun Man berkata, permohonan untuk ibadah korban yang dibuka sejak 26 Mei lalu itu membabitkan 2,053 ekor lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Beliau berkata, sebagai perbandingan, sebanyak 5,181 ekor haiwan ruminan telah disembelih untuk ibadah korban pada musim perayaan Aidil­adha sama tahun lalu.

“Begitupun saya menjangkakan permohonan permit sembelihan untuk ibadah korban di negeri ini dijangka meningkat pada saat-saat akhir menjelang Aidiladha pada Isnin depan.

“Pada masa sama, JPV Terengganu turut meluluskan 65 permit pemindahan masuk ternakan ke negeri ini membabitkan 1,759 ekor ruminan,” katanya di sini semalam.

Kosmo! pada 1 Jun lalu me­laporkan, penternak di Terengganu mengeluh kerana tempahan lembu tempatan untuk ibadah korban tahun ini merosot teruk sehingga 70 peratus.

Seorang penternak, Mohd. Hasrul Helmi Ariffin, 36, mendakwa, ia disebabkan lambakan lembu import dari negara jiran yang terlalu murah.

Dr. Anun berkata, Terengganu mempunyai 10 rumah sembelihan termasuk tiga milik swasta bagi penyembelihan haiwan korban.

Kata beliau, umat Islam di negeri ini juga dibenarkan me­lakukan ibadah korban di luar rumah sembelihan seperti di masjid dan kediaman.

“Bekalan haiwan ruminan tersedia di Terengganu untuk korban mencukupi iaitu kira-kira 7,000 ekor. Sebanyak 96 peratus daripada ruminan itu merupakan lembu,” katanya.

Tambahnya, seramai 106 pegawai teknikal dan 19 pegawai penguat kuasa JPV Terengganu ditugaskan di lokasi sembelihan bagi memastikan ternakan bebas penyakit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN