GUA MUSANG – Lebih 30 nelayan darat dari tiga buah kampung, di sini mendakwa, sisa daging babi sejuk beku yang dibuang ke dalam Sungai Kuala Lah sebelum hanyut ke Sungai Nenggiri telah menjejaskan pendapatan mereka.
Ini kerana buat sementara waktu, mereka terpaksa berehat selama sebulan daripada mencari sumber ikan di sungai berkenaan ekoran bimbang orang ramai yang mengetahui perkara itu tidak akan membeli ikan.
Sisa daging itu dibuang ke sungai tersebut selepas jatuh di atas jalan raya dari muatan sebuah lori pada Sabtu lalu.
Ketua Jaringan Nelayan Darat Pulau Setelu, Zakaria Omar, 59, setiap nelayan dari Pulau Setelu, Pasir Tumbuh dan Bertam, di sini mendakwa, penemuan sisa buangan daging babi itu menyebabkan mereka hilang pendapatan kira-kira RM100 sehari.

Menurutnya, mereka membuat satu laporan di Balai Polis Bertam kelmarin bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lebih lanjut berhubung penemuan tersebut.
“Kami percaya dalam tempoh sebulan atau dua bulan orang tidak akan membeli hasil ikan yang ditangkap kami di sungai ini.
“Buat sementara, waktu kami tidak akan mencari sumber ikan di sungai berkenaan dan akan ke kawasan sungai Pos Pulat,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Ketua Jaringan Nelayan Darat Kampung Pasir Tumbuh, Kamarudin Mohd. Noor, 55, berkata, kebanyakan nelayan sudah 20 tahun mencari rezeki dari kawasan sungai berkenaan.
Katanya, Sungai Nenggiri merupakan lubuk ikan sungai seperti ikan baung, ikan kelulang, ikan kenerak, ikan jogho dan ikan lampan.
“Kita berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian kerana kes ini sudah diketahui penduduk kampung serta menimbulkan banyak kebimbangan,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, pengguna yang melalui Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Kampung Tool, di sini pada Sabtu lalu terkejut melihat hampir 50 daging babi sejuk beku bergelimpangan atas jalan raya.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi apabila sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan daging babi sejuk beku itu dipercayai melalui jalan mendap sebelum dinding kiri kenderaan tersebut tiba-tiba tercabut.














