Daerah Lipis di Pahang telah diperakui sebagai Lipis Geopark pada 9 November 2023 menerusi Mesyuarat Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Dr. Ching Thoo Kim.
Lipis Geopark mempamerkan warisan bumi luar biasa dengan merekodkan peristiwa penting alam iaitu bukti pertembungan serpihan dua benua yang membentuk Semenanjung Tanah Melayu, peristiwa kepupusan besar-besaran pada sempadan zaman Perm-Trias (250 juta tahun lampau) dan kawasan pemineralan bijih emas yang menjadi pemula sejarah petempatan Kuala Lipis dan Merapoh.
Lipis Geopark yang berkeluasan 5,408 kilometer persegi iaitu meliputi keseluruhan daerah Lipis di negeri Pahang dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan enam tapak warisan biologi.
Pengiktirafan itu menjadikan Lipis sebagai Geopark Kebangsaan ke-11 di negara ini iaitu yang termuda, selain dikatakan terbesar di Malaysia.
Antara 28 tapak warisan geologi itu ialah Kuala Sungai Lipis, Gua Batu Tangga, Gua Kesong, Gua Tekong, Gua Sisik Naga, Dataran Kars Merapoh, Air Terjun Sungai Kelam, Batu Kapur Bertuf Sungai Koyan, Gua Panjang, Granit Bukit Tujuh dan banyak lagi.
Gua Sisik Naga di Merapoh misalnya menyimpan 1,001 kisah misteri dan unik. Terletak kira-kira 76 kilometer dari bandar Lipis, gua ini mengagumkan dengan dindingnya kelihatan seperti marmar putih seolah-olah sisik naga.
Panorama berkesempatan menerokai keunikan dan keindahan Gua Sisik Naga yang merupakan salah satu tapak warisan geologi Lipis Geopark baru-baru ini.
Pengarah Urusan SGI Outdoor, Mohd Syukri Jali berkata, pembentukan di dalam gua berkenaan dipercayai berlaku akibat formasi batu gua yang disebut sebagai ‘bell hole’ jutaan tahun dahulu disebabkan oleh arus air lautan.
“Terdapat juga fosil cangkerang yang merupakan hidupan primitif lautan berusia jutaan tahun di kawasan ini.
“Melihat kepada penemuan fosil terbabit menunjukkan bahawa kawasan Merapoh pernah dilitupi oleh lautan pada masa itu.
“Maka tidak hairanlah Gua Sisik Naga dan gua-gua batu kapur lain di sekitarnya termasuk dalam senarai Lipis Geopark Kebangsaan sebagai tapak warisan geologi,” katanya.
Tambahnya, kawasan Merapoh miliki lebih 100 gua batu kapur dan daripada jumlah berkenaan hanya 60 gua berjaya diterokai, manakala 20 gua menjadi tumpuan pengunjung melakukan aktiviti ekstrem.
Ujarnya, selain Gua Sisik Naga, antara gua yang popular dan sering dikunjungi pelancong ialah Gua Padang Kawad, Gua Jinjang Pelamin, Gua Lima dan Gua Tagang.
Ternyata daerah Lipis menawarkan banyak keunikan yang boleh diterokai.

Pelaksanaan Lipis Geopark ini adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori World Heritage Site (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).
Rentetan itu juga, kerajaan Pahang kini telah membuat persediaan bagi mengangkat Lipis sebagai UNESCO Global Geopark menjelang 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perancangan itu dapat diteruskan sekiranya semua syarat dan kriteria yang diperlukan dapat dipenuhi.
“Lipis Geopark mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-11 negara berkuat kuasa pada 9 November tahun lalu dan merupakan Geopark Kebangsaan termuda serta terbesar di Malaysia buat masa ini.
“Antara kawasan yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan itu ialah Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak Bernilai Kebangsaan dan Geotapak Bernilai Geopelancongan, dengan setiap satunya mempunyai sejarah yang boleh diceritakan kepada pelancong,” katanya baru-baru ini.
Wan Rosdy memberitahu, hasil maklumat yang diperoleh juga menunjukkan terdapat bukti perlanggaran dua benua kecil iaitu Malaya Barat dan Malaya Timur di daerah Lipis lebih kurang 200 juta tahun lalu yang membentuk Semenanjung Malaysia seperti hari ini.
Menurutnya, satu lagi bukti sejarah geologi lampau ialah pada beberapa bukit batu kapur seperti Gua Bama dan Gua Panjang yang terdapat sempadan batuan berusia 250 juta tahun dan berlaku ‘kepupusan besar-besaran’ hingga lebih 95 peratus hidupan di atas muka bumi ini.
Wan Rosdy berkata, menerusi draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia 2024-2028, Kerajaan Negeri Pahang telah merancang untuk membentuk strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan untuk menjaga warisan.
Jelasnya, pengiktirafan itu bukan bermakna sebarang bentuk pembangunan tidak boleh dilaksanakan di daerah Lipis sebaliknya masih boleh diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pembangunan lestari.
Katanya, pembangunan secara lestari ini juga selari dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar setiap projek pembangunan di negeri Pahang hendaklah dilaksanakan berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).
“Dalam pada itu, menerusi agenda Geopark juga, ia akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi rakyat, khususnya melibatkan industri pelancongan dan pembangunan produk berinovasi atau geoproduk,” katanya.
Tambah beliau, Agenda Global Geopark telah mula diperkenalkan UNESCO pada 2004 dan ia telah mendapat perhatian warga antarabangsa dan sehingga kini terdapat 195 Global Geopark di 48 negara dunia.
“Di Malaysia, agenda Geopark bermula pada tahun 2015, apabila Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu memperkenalkan program Geopark Kebangsaan.
“Dan hari ini, negara kita telah memiliki dua Global Geopark iaitu Global Geopark Langkawi dan Global Geopark Kinabalu, serta 11 Geopark Kebangsaan,” jelasnya.
















