SISTEM kontrak baik dalam sektor swasta atau kerajaan bukan lagi perkara asing, malah menjadi norma bagi pengambilan pekerja ketika ini.
Selain menjimatkan kos, majikan atau pekerja boleh mengamalkan ‘konsep pandu uji’ bagi menentukan sama ada jawatan itu bersesuaian atau sebaliknya.
Jika dahulu, hanya syarikat kecil yang mengamalkan pengambilan kontrak, kini firma gergasi turut mempraktikkan kaedah pengambilan sama.
Bagaimanapun, dengan wujudnya peluang pekerjaan jangka pendek secara meluas di seluruh agensi kerajaan, ramai yang kekal di jawatan dan gaji sama biarpun bertahun-tahun menabur bakti di tempat kerja.
Misalnya, kewujudan Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang merupakan mogok pekerja anjuran pegawai perubatan di negara ini pada 26 Julai 2021 sebagai bantahan terhadap dasar pelantikan berkontrak yang dilaksanakan sejak 2016.
Gerakan HDK terdahulu memaklumkan, pihaknya sudah mula menuntut jawatan pegawai perubatan berstatus kontrak diserap ke dalam sistem perjawatan tetap sejak pentadbiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada 2020.
HDK dilaporkan berkata, pada 2022 sewaktu Kementerian Kesihatan (KKM) diterajui Khairy Jamaluddin, pihaknya menuntut sebanyak 4,053 perjawatan tetap tambahan pada tahun tersebut.
Selain doktor atau pegawai perubatan, seramai 6,034 guru baharu lantikan secara kontrak ditempatkan di sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) bulan lalu bagi mengatasi masalah kekurangan 20,000 tenaga pengajar.
Menurut Setiausaha Nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) Sivaranjani Manickam, sistem kontrak dalam sektor kerajaan tidak boleh digunakan dalam situasi yang mempunyai ciri-ciri jangka masa panjang.
Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan sistem kontrak dihapuskan dengan mengambil pekerja tetap.
Ujarnya, selain ingin mengelak untuk memberikan faedah kepada penjawat awam berjawatan tetap, sistem kontrak atau lantikan jangka pendek juga digunakan dalam usaha ‘mengawal’ pekerja di organisasi tersebut.
“Jika kita tengok, skop kerja diberikan bukan bersifat sementara, tetapi lebih kepada jangka masa panjang. Apabila tenaga mereka diperlukan, kontrak mereka akan disambung. Jadi kenapa tidak dilantik secara tetap sahaja?
“Melainkan pihak terbabit boleh memberikan bukti seseorang diambil lantikan jangka pendek bercirikan skop kerja yang bersifat sementara.
“Ini sebenarnya salah satu cara pihak terbabit hendak kawal pekerja. Sesiapa yang mempersoalkan, senang majikan hendak buang selain mengelak untuk memberikan pelbagai faedah kepada pekerja. Ini sebenarnya satu bentuk pemangsaan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah beliau, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 90 aduan di seluruh negara berkaitan pekerja kontrak diberhentikan atau bekerja terlalu lama sebagai pekerja berstatus kontrak.
“Pekerja kontrak ini tiada jaminan dan perlindungan kerja, namun mereka ini tidak mahu melawan kerana bimbang akan hilang pekerjaan.
“Justeru saya menyeru agar kerajaan menghapuskan mana-mana sistem kontrak dalam sektor awam dan jangan meletakkan mereka dalam kontrak tahunan,” ujarnya.
















