fbpx
Fahmi kecewa isterinya menyalahkan takdir dan menuduh dirinya sebagai ‘tidak subur’ punca anak-anak mereka autistik. – Gambar hiasan

Isteri minta cerai lepas lahirkan dua anak autistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANUSIA hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan.

Itu mungkin paling tepat menggambarkan situasi Fahmi (bukan nama sebenar) selepas keluarga kecilnya hancur berkecai tidak dapat diselamatkan.

Berkongsi kepada K2, Fahmi, 37, yang merupakan seorang penjawat awam di sebuah agensi kerajaan memberitahu, mahligai yang dibina sebelum ini hanya mampu bertahan tidak sampai tiga tahun.

Katanya, dia sudah cuba sedaya mungkin bagi menyelamatkan hubungan rumah tangga tersebut, tetapi tidak berpihak kepadanya.

Baginya, mungkin itu (perceraian) adalah jalan terbaik yang telah disusun Allah SWT buat dia dan bekas isterinya, Yati (bukan nama sebenar).

“Puas saya pertahankan rumah tangga yang dibina. Apa yang saya tidak lakukan, semuanya sudah saya buat asalkan rumah tangga kami dapat dijaga.

“Tetapi dia (isteri) tetap tidak boleh menerima kehadiran kedua-dua cahaya mata kami yang dilahirkan tidak sempurna dan dikategorikan sebagai autistik atau autisme,” katanya.

Kongsi Fahmi, isteri mungkin tidak dapat menerima cahaya mata mereka kerana bukan hanya seorang, tetapi kedua-dua mereka ‘dikirimkan’ Tuhan tidak sempurna.

Ujar anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu lagi, puas dia memujuk isterinya tetapi langsung tidak diterima dan tetap dengan tindakannya untuk mengabaikan anak itu.

“Anak pertama kami seorang lelaki dan kini umurnya sudah memasuki lima tahun. Anak perempuan kami pula kini berusia tiga tahun.

“Masa mula-mula anak pertama kami dilahirkan, semuanya nampak normal sahaja.

“Tetapi bila ada simptom-simptom yang menunjukkan dia ke arah itu (autistik), kami terus rujuk ke pakar perubatan dan mereka mengesahkan perkara itu.

“Isteri memang pada awalnya tidak boleh terima dan percaya perkara tersebut. Balik-balik dia salahkan takdir dan saya kerana mendakwa saya tidak subur dan datang daripada keturunan tidak sihat,” katanya.

Jadi bermula dari situ, ujar Fahmi, isteri yang turut bekerja langsung tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu kepada anak pertama mereka.

Kata Fahmi lagi, isteri bersikap acuh tidak acuh dalam mengasuh dan menjaga zuriat tidak berdosa itu.

“Ditakdirkan dua tahun selepas itu, isteri hamil anak kedua kami. Tetapi mungkin ujian di sebalik anugerah terindah dari Allah itu, anak kedua juga disahkan autistik.

“Lagi bertambah ‘gila’ isteri dibuatnya. Dia sekali lagi menyalahkan takdir dan tuduh saya segala punca mereka berdua dapat anak tidak sempurna itu.

“Memang ada dalam kalangan ahli keluarga saya dan saudara- mara saya yang pernah ada anak autistik, tetapi bagi saya, mereka (anak) adalah amanah Allah walau apa jua sifat mereka,” tuturnya.

Bertahun tidak mempedulikan anak-anak dan saya sampai terpaksa berhenti kerja untuk mengasuh dan menyara mereka bagaikan tanpa isteri disisi, dia (Yati) beberapa kali juga meminta untuk dilepaskan.

Lebih meremukkan hati Fahmi, isterinya berkata, dia sudah tidak tahan dan sanggup bersumpah dengan nama Allah memang tidak boleh dan tidak akan sesekali menerima apatah lagi mengakui kedua-dua anak autistik itu sebagai anaknya.

Dia juga beberapa kali juga meminta dan mendesak untuk diceraikan agar boleh membawa haluan hidup masing-masing sekali gus keluar daripada ‘musibah’ yang dilanda.

Puas memikirkan masak-masak dan atas kehendaknya, Fahmi akhirnya dengan ikhlas dan rela hati melepaskan isterinya itu dengan talak satu.

Bagi Fahmi, seburuk-seburuk perangai isterinya itu, dia tetap darah daging dan ibu kandung yang pernah menumpangkan kedua-dua zuriat halal anak mereka sampailah bila-bila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN