PETALING JAYA – Ibu bapa mengakui kos untuk membesarkan seorang anak ketika ini sememangnya tinggi terutama ketika mereka berumur 13 hingga 18 tahun.
Seorang pekerja swasta, Norhasliza Mohd. Shafi, 48, berkata, dia telah membelanjakan lebih RM100,000 untuk membesarkan seorang anak bagi tempoh enam tahun itu.
Katanya, ia meliputi perbelanjaan sekolah, pembelian kelengkapan sekolah, tambang van sekolah dan insurans anak-anak.
“Setiap kali musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri, kos yang terpaksa dikeluarkan untuk membeli kelengkapan raya juga tinggi.
“Selain itu, keinginan anak-anak terhadap makanan viral dan barang tertentu juga melibatkan kos kerana sebagai ibu bapa, ada masa kami tak sanggup hampakan permintaan mereka selagi tidak melampaui batas,” katanya.
Menurutnya, kos ketika anak dilahirkan sehingga usia 6 tahun tidak setinggi itu berikutan mereka masih di peringkat asas.
“Sebulan saya belanjakan kira-kira RM900 secara kasar meliputi pembelian susu, lampin pakai buang, insurans dan lain-lain,” katanya.
Norhasliza yang mempunyai dua anak memberitahu, dengan jumlah pendapatan kasar isi rumah RM7,000 sebulan, ia boleh dikategorikan sebagai ‘cukup-cukup makan’ sahaja.
“Lebih-lebih lagi kami tinggal di bandar besar, perlu berjimat dan cari kerja sambilan untuk menambah pendapatan,” ujarnya.
Seorang suri rumah, Fadzillah Alias, 53, ibu kepada tujuh anak juga bersetuju kos perbelanjaan anak-anak yang berumur 13 hingga 18 tahun lebih tinggi.
Malah menurutnya, kos yang semakin meningkat saban tahun juga perlu diambil kira kerana ia memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah.
“Peningkatan kos ini kadangkala melebihi bajet bulanan, namun sebagai penjaga, perlu pastikan keperluan anak-anak mencukupi terutamanya pendidikan dan perubatan.
“Kena bijak uruskan kewangan berdasarkan bilangan anak dan keperluan masing-masing,” kongsinya.
Seorang penjawat awam, Fazlida Dahalan, 45, berkata, gaya hidup sesebuah keluarga memainkan peranan penting dalam menentukan kos perbelanjaan yang diperlukan.
“Sekiranya sesebuah keluarga itu mempunyai pendapatan isi rumah tinggi, mereka boleh dapatkan semua keperluan dengan lebih baik serta mudah.
“Namun bagi pasangan yang pendapatan terhad, maka perlu rancang perbelanjaan dengan lebih baik dan teratur terutamanya jika ada ramai anak yang sedang membesar,” katanya yang mempunyai empat anak.














