KUALA LUMPUR – Ibu kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) yang terpaksa mengutip botol dan tin kosong untuk kelangsungan hidup mendedahkan ada pihak mengambil kesempatan mengaut untung dengan memalsukan kematian mereka empat beranak.
Noraniza Wahab, 36, berkata, taktik berkenaan dikesan sebanyak dua kali apabila ada individu menularkan kononnya dia sudah meninggal dunia dan memohon sumbangan untuk kelangsungan hidup anak.
Katanya, kejadian sama berlaku kelmarin apabila individu tersebut menularkan pula kematian anak pertamanya, Nur Ainul Mardhiah Zulkarnain, 14.
“Pihak itu turut memberi nombor akaun yang saya tidak tahu milik siapa. Mereka mengambil kesempatan di atas penyakit yang kami hidapi dan kesempitan hidup.
“Saya terpaksa membuat laporan polis bagi menafikan mempunyai kaitan dengan penipuan tersebut,” katanya ketika ditemui.
Semalam Kosmo! melaporkan, Nur Ainul Mardhiah yang merupakan OKU intelektual terpaksa melupakan segala keseronokan bersama rakan-rakan seusianya apabila dia perlu berkorban mencari rezeki di sebalik timbunan sampah sarap bagi menyara kehidupan keluarga.
Remaja itu yang tinggal bersama ibu dan dua adiknya di sebuah rumah flat di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, mencari tin kosong dan botol di tempat pembuangan sampah hampir setiap hari.
Menurut Norazina, mereka yang berstatus OKU turut memelihara 10 ekor kucing liar untuk diberi makan hingga kesemuanya beranak pinak di rumah kecil itu.
Tambahnya, dia mempunyai masalah mudah pitam dan akan tiba-tiba pengsan ketika melakukan kerja-kerja di rumah.
“Saya terpaksa menyerahkan tugas menjaga dua lagi anak berusia lapan dan 10 tahun kepada Nur Ainul Mardhiah,” katanya.
Ujar Noraniza, dia juga pernah pengsan ketika menyiapkan tempahan nasi lemak di dapur dan terpaksa dipapah oleh anak-anaknya.
“Mungkin selepas ini, Nur Ainul akan jarang mengutip botol dan tin kosong lagi kerana kesihatan diri saya yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini, ditambah lagi dia juga kerap tidak sihat sekarang,” luah Noraniza.
Kongsi Noraniza, sejak akhir-akhir ini, Nur Ainul juga kerap tidak hadir ke sekolah akibat sering sakit seperti sesak nafas sehingga tidak berupaya untuk melakukan aktiviti lasak dan dia juga telah dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut.
Orang ramai yang ingin membantu boleh memberikan sumbangan menerusi Bank Islam Noraniza di 13044021060457.
















